Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwaan mohon perbicaraan kes rasuah Ku Nan digantung sementara

Pihak pendakwaan memohon untuk menggantung prosiding perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazihah Asmuni hari ini.

Lailawati berkata pihak pendakwaan memfailkan permohonan penggantungan perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Tengku Adnan agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes berkenaan selesai.

"Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk sebutan bagi permohonan penggantungan perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin," katanya.

Menurut Lailawati, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Feb lepas dan pendengaran ditetapkan pada 17 Julai ini.

Pada 12 Feb lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Tengku Adnan agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Mahkamah itu juga memutuskan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain dan hakim baharu akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan kes itu atau meneruskan perbicaraan daripada Hakim Mohd Nazlan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bermula pada 20 Sep lepas dengan dua saksi pendakwaan memberi keterangan dan kini kes itu dipindah ke hadapan hakim Muhammad Jamil.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu membuat permohonan itu atas alasan Hakim Mohd Nazlan telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan Tan Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Tan) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS