Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah belum periksa barang disita kerana PKP
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 2:08 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor dan firma barang kemas, Global Royalty masih belum dapat memeriksa secara fizikal barang yang disita dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak dapat melaksanakan perintah kebenaran pemeriksaan itu yang diberikan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin pada 11 Mac lepas, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Mahkamah (pada 11 Mac) membenarkan permohonan (Rosmah dan Global Royalty) untuk buat pemeriksaan fizikal ke atas harta yang disita dalam tempoh 30 hari selepas tarikh perintah dikeluarkan, malangnya kami tidak dapat melaksanakan perintah itu disebabkan PKP," katanya.

Peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili Rosmah dan peguam David Gurupatham yang mewakili Global Royalty mengesahkan perkara itu.

Gurupatham turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan lanjutan masa pelaksanaan perintah tersebut dan memberi indikasi bahawa tempoh yang dimohon akan lebih panjang kerana anak guamnya menetap di luar negara dan tidak dapat masuk ke Malaysia disebabkan oleh PKP.

Sehubungan itu, Hakim Muhammad Jamil mengarahkan agar permohonan lanjutan masa pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan dibuat dengan segera.

Pada 11 Mac lepas, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah dan Global Royalty untuk membuat pemeriksaan secara fizikal barang yang disita tersebut, dengan mengenakan syarat bahawa pemeriksaan perlu dilakukan di premis yang ditetapkan dan hanya kedua-dua pemohon serta seorang peguam dibenarkan berbuat demikian di bawah pengawasan pendakwa raya selain memerintahkan pemeriksaan itu dilakukan hanya sekali dalam tempoh 30 hari mulai tarikh perintah dikeluarkan.

Dalam prosiding berasingan, Hakim Muhammad Jamil membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain untuk membuat pindaan terhadap notis usul lucut hak yang difailkan terhadap Obyu Holdings, iaitu mengeluarkan satu daripada enam item yang dirampas daripada Obyu Holdings, iaitu sebuah kondominium di Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur milik syarikat tersebut.

Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hisyam Teh Poh Teik mewakili Obyu Holdings.

Harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings bernilai RM680 juta itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari kondominium yang dimiliki Obyu Holdings selain sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur yang turut disita pada 1 Nov 2018.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun Najib, Rosmah dan Global Royalty selaku pihak ketiga memohon untuk mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS