Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) terbaru tidak lagi menyebut tentang harga siling atau harga runcit maksimum untuk petrol dan diesel.
Sebaliknya, warta bertarikh 3 Jun itu, sekadar memaklumkan bahawa pembatalan harga siling itu adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 4, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], Pengawal, dengan kelulusan menteri.
Ia diluluskan oleh Alexander Nanta Linggi selaku menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna pada 10 April lalu.
Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Harapan, menetapkan harga RON95 dan diesel masing-masing tidak boleh dijual melebihi harga siling iaitu pada RM2.08 dan RM2.18.
Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, berkata Mesyuarat Jemaah Menteri sebulat suara memutuskan harga siling berkenaan biarpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.
PH walau bagaimanapun digulingkan pada 24 Februari lalu dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Harga bahan api telah menurun dengan ketara sejak Februari susulan wabak Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata kejatuhan harga minyak AS$1 setiap setong menyebabkan kerajaan rugi RM300 million.
Pada ketika ini, harga pam untuk RON 95 dan diesel masing-masing adalah RM1.48 dan RM1.63.