Ahli perniagaan Malaysia Jho Low yang menjadi buruan berhubung skandal 1MDB dilaporkan berjaya meloloskan diri ke Kuwait, tanpa disedari pihak penguatkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Menurut portal berpangkalan AS itu, berdasarkan dokumen yang dilihatnya dan maklumat daripada individu yang mempunyai hubungan dengan Low, lelaki tersebut memasuki di Kuwait pada September lalu, di sebalik berada dalam senarai notis merah Interpol.
Senarai notis merah Interpol adalah makluman kepada pihak polis seluruh dunia berhubung orang dikehendaki.
Kenalan Low di Kuwait dikatakan memberi dia keupayaan untuk menangkis siasatan dari AS dan Malaysia.
Pada awal 2016, Low memohon bantuan anak perdana menteri, Sheikh Sabah Al-Jaber Al-Mubarak Al-Hamad Al-Sabah, yang dikenali beberapa tahun sebelum itu, dan menawarkan untuk menggunakan kenalannya di China untuk membawa pelaburan ke Kuwait.
Ketika itu, pihak berkuasa AS mula menyiasat dan mendedahkan gaya hidup luar biasa Low di AS, termasuk bagaimana dia membiayai filem "The Wolf of Wall Street".
WSJ memetik seorang usahawan dari Perancis, Bachar Kiwan, yang adalah bekas rakan niaga sheikh itu, mengimbaskan kembali apa yang dikatakan oleh Low di sebuah majlis makan malam pada tahun 2016: "Saya memperoleh berbilion-bilion di Malaysia. Saya akan memperolehi minimum seratus bilion di China."
Hubungan Kuwait itu mebyaksikan Low mendapat pelindung baru, termasuk perjanjian perniagaan baru dan saluran baru untuk memindahkan wang, kata WSJ.
Bank-bank di sana menguruskan ratusan juta dolar yang dikaitkan dengan aktiviti Low, termasuk pembayaran berjuta-juta kepada syarikat-syarikat di AS dan UK untuk menampung bil perundangannya yang semakin meningkat, lapor WSJ.
Tambah WSJ bahawa penyiasat Malaysia mengaitkan 'aliran wang' dari China kepada sebuah bank China di Kuwait dan disalurkan kepada satu entiti di Kepulauan Cayman yang sebahagiannya dikawal oleh Low yang kemudian membayar hampir AS$1 bilion menerusi aset di Malaysia milik Low untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.
Dalam usaha untuk mengelakkan daripada dikesan oleh Amerika Syarikat, urus niaga itu dilakukan dalam mata wang China (Yuan), kata para penyiasat.
Jurucakap kepada Sheikh Sabah"secara tegas menyangkal sebarang kesalahan," dan menurutnya tuduhan ke atas Low dan sheikh itu adalah tidak benar.
Low juga didakwa menggunakan firma media Al Waseet, milik Kiwan yang berpusat di Kuwait, untuk memindahkan 1.4 bilion yuan (US$ 200 juta), kata WSJ memetik Kiwan dan dokumen yang dilihatnya.
Kerajaan Kuwait tidak melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan penjelasan, dan begitu juga oleh kerajaan Malaysia. Jabatan Keadilan AS pula enggan mengulas mengenai aktiviti Low di Kuwait.
Kiwan disabitkan secara tidak hadir di Kuwait atas pertuduhan pemalsuan dokumen. Dia menafikan semua tuduhan itu.
Memetik pegawai penyiasat Malaysia bahawa sehingga enam bulan yang lalu, Low menghabiskan kebanyakan masa menetap di Wuhan, China.
Adalah masih belum diketahui mengenai keberadaan Low sehingga hari ini.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berulang kali berkata, bahawa pihak polis tahu di mana Low berada tetapi tidak mendedahkan lokasinya.
Dia mendakwa bahawa Low bersembunyi "seperti ayam" di negara tertentu di mana dia dilindungi oleh “orang kuat dan pihak berkuasa asing tidak bekerjasama” dalam usaha Malaysia memburu Low.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan WSJ secara bebas.