Kumpulan aktivis Human Rights Watch (HRW) mempersoalkan tahap kebebasan media sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran dengan mendakwa bahawa pentadbiran baru Malaysia semakin kerap menyalahgunakan undang-undang bagi menyiasat dan mendakwa mereka yang mengkritik kerajaan.
"Sejak gabungan PN mengambil alih pemerintahan pusat pada awal Mac 2020, pihak berkuasa telah meningkatkan penyiasatan terhadap individu di bawah undang-undang yang melanggar hak kebebasan bersuara.
"Pihak berkuasa Malaysia telah kembali kepada amalan penyalahgunaan kuasa, memanggil wartawan, aktivis, dan pemimpin pembangkang ke balai polis untuk disoal siasat mengenai tulisan dan catatan media sosial mereka," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia.
Robertson berkata kerajaan harus berhenti mengulangi tindakan masa lalu dan menyemak semula undang-undang untuk memenuhi piawaian antarabangsa.
HRW memetik kes wartawan Tashny Sukumaran, yang dipanggil polis setelah dia melaporkan mengenai serbuan imigresen di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19.
HRW juga menyorot Cynthia Gabriel, pengarah pengasas Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4), yang telah dipanggil oleh pihak polis kerana mempersoalakan sepucuk surat dan menggesa siasatan berhubung dakwaan kerajaan melakukan "sogokan" bagi mendapat sokongan politik.
Sementara itu, Bruno Manser Fund yang berpusat di Switzerland juga menyatakan gesaan sama.
"Kami meminta polis Malaysia untuk berhenti mengganggu dan menakut-nakutkan kumpulan masyarakat awam yang secara terbuka menyoal kerajaan Muhyiddin.
"Khususnya, tidak boleh diterima apabila polis menyiasat individu yang hanya menggunakan kebebasan bersuara. Ini sama dengan penyalahgunaan kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
HRW juga menyorot beberapa kes lain termasuk tindakan polis memanggil bekas menteri, Dr Xavier Jayakumar, untuk siasat setelah dia mengkritik keputusan kerajaan yang menghadkan persidangan parlimen baru-baru ini kepada titah diraja saja.
"Pada 5 Jun, pihak pendakwa mendakwa R Sri Sanjeevan, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia, dengan dua tuduhan melanggar seksyen 233 (1) CMA kerana didakwa menyiarkan maklumat "palsu"mengenai polis di media sosial.
"Semua undang-undang yang disebut dalam penyiasatan ini terlalu umum dan boleh disalahgunakan, dan semuanya telah digunakan oleh pentadbiran sebelumnya untuk menentang kritikan," kata HRW.
Seksyen 233 (1) CMA menetapkan adalah suatu kesalahan untuk melakukan komunikasi dalam talian yang "tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu orang lain" dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda RM50,000.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan, salah satu undang-undang yang disebut dalam penyiasatan Sukumaran, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun bagi sesiapa saja yang sengaja menghina, yang bermaksud atau mengetahui bahawa kemungkinan provokasi seperti itu akan menyebabkannya menggugat ketenteraman awam.
Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan mentapkan adalah suatu kesalahan jika membuat, menerbitkan, atau mengedarkan pernyataan, khabar angin atau laporan dengan niat untuk menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran awam.
"Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menjawab Sukumaran di Twitter pada 3 Mei, dengan menyatakan bahawa dia telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tidak mendakwanya.
"Namun, menteri dan kerajaan tidak memberi komitmen untuk mereformasi Akta Komunikasi dan Multimedia," kata HRW.
Di bawah piawaian hak asasi manusia antarabangsa, kerajaan hanya boleh mengenakan sekatan kebebasan berekspresi terhadap seseorang jika diarahkan undang-undang dan diperlukan untuk menghormati hak atau reputasi orang lain, atau untuk perlindungan keamanan negara, ketertiban umum, kesihatan awam, atau moral.
"Rakyat Malaysia harus dapat mengkritik kerajaan dan polisinya tanpa rasa takut menghadapi siasatan pihak polis dan kemungkinan tuduhan jenayah," kata Robertson.
"Pentadbiran Muhyiddin harus meminda atau memansuhkan undang-undang tersebut untuk melindungi kebebasan bersuara setiap orang di Malaysia," katanya.