Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan tak akan terima lagi pelarian Rohingya - Ismail

Kerajaan tidak lagi menerima pelarian Rohingya dari Bangladesh yang menceroboh masuk ke negara ini, sebaliknya akan menghantar mereka pulang ke negara itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehubungan itu kerajaan akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.

"Jadi di sini kerajaan menegaskan tidak lagi menerima pelarian-pelarian ini dan kami akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang. Kerajaan lebih selesa jika negara-negara ini dapat menerima pelarian Rohingya dari Malaysia," katanya.

Bercakap pada sidang media harian di sini, hari ini, Ismail Sabri berkata selain itu kerajaan juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan kerajaan Bangladesh menerusi Kementerian Luar untuk menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.

"Banyak negara yang mempersoalkan tentang bagaimana Malaysia menguruskan isu (pelarian) Rohingya ini dan ada yang mendakwa kita ini tidak berperikemanusiaan.

"Jadi, kami minta Kementerian Luar berbincang dengan negara-negara ketiga ini supaya menerima pelarian Rohingya dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sekiranya negara ketiga yang terlibat menerima kehadiran pelarian ini, banyak isu khususnya membabitkan pendatang tanpa izin di negara ini dapat diselesaikan.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan 269 etnik Rohingya yang ditahan awal pagi semalam setelah cuba menceroboh perairan Langkawi. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS