Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan pemangku ketua bahagian Simpang Renggam sah - Mazlan

Pelantikan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Simpang Renggam dan Muar sebagai Pemangku Ketua Bahagian bagi menggantikan Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah sah mengikut perlembagaan parti.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata watikah pelantikan A'zman Mohd Umar (Simpang Renggam) dan Basut Nin (Muar) juga sudah dikeluarkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini dan wajar dihormati semua pihak.

Beliau juga menyifatkan tindakan sebahagian ahli Bersatu bahagian Simpang Renggam yang menolak pelantikan A’zman sebagai pemangku bagi menggantikan Maszlee, sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan keputusan keseluruhan ahli.

"Kita di peringkat negeri kita akur dengan keputusan yang dibuat di peringkat pusat mengikut perlembagaan. Pemangku sudah dilantik jadi bagilah peluang kepada beliau melakukan kerja dan keputusan itu sudah muktamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pencen faedah penakat Perkeso kepada waris Syed Hanafi Syed Abdullah di pejabat Yayasan Warisan Johor di Johor Bahru hari ini.

Sabtu lepas, beberapa media melaporkan Bersatu bahagian Simpang Renggam menolak pelantikan A’zman sebagai pemangku ketua bahagian bagi menggantikan Maszlee susulan pemberhentian keahlian Maszlee dan Syed Saddiq pada 28 Mei lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS