Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak saman SPRM lucut hak wang Jakel, BN JB
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 12:50 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM1.59 juta daripada Jakel Trading dan Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, didakwa ada kaitan dengan skandal penipuan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jakel Trading dan BN Johor Bahru didakwa menerima wang itu daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masing-masing berjumlah RM628,314 dan RM957,395.65.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas menimbangkan afidavit dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam penghakiman bagi Jakel Trading, Ahmad Shahrir berkata tidak dipertikaikan bahawa syarikat itu menerima bayaran berjumlah RM628,314 dalam akaun semasa Maybank Berhad syarikat itu daripada akaun pertama dan keempat AmIslamic Bank Berhad milik Najib pada 27 Julai 2011, 8 Sept 2011 dan 27 Ogos, 2013.

Beliau berkata transaksi itu melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan selaras dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

"Hakikat bahawa akaun Jakel Trading terlebih keluar pada April 2015 menjadikan adalah mustahil bagi baki dalam akaunnya adalah sebahagian daripada bayaran dibuat oleh Najib, ataupun, keseluruhan daripadanya. Sehubungan itu saya mendapati pemohon (SPRM) tidak berjaya membuktikan wujud kebarangkalian bahawa jumlah RM628,314 dalam akaun semasa Maybank Berhad milik Jakel Trading adalah perkara pokok atau bukti berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram," katanya.

Ahmad Shahrir berkata jumlah RM628,314 itu dibayar untuk barang yang dijual dan dihantar bagi pembelian pelbagai kemeja dan kain yang dibuat oleh Najib dan wakilnya masing-masing pada 5 Julai, 2011 dan 19 Jun, 2013.

Beliau berkata kemeja dan kain berkenaan telah dihantar ke jabatan perdana menteri dan bayaran diterima oleh Jakel Trading sepadan dengan jumlah dalam invois bagi pembelian itu.

"Pemohon sendiri menggambarkan Jakel Trading adalah entiti perniagaan yang berdaftar secara sah. Jakel Trading menjalankan perniagaan sebagai pedagang dan pembekal, antaranya, pakaian, langsir, tekstil dan sebagai pengeluar fabrik. Barang yang dijual dan dihantar oleh Jakel Trading kepada Najib adalah konsisten dengan bidang perniagaannya.

"Oleh itu, seseorang tidak boleh terlepas pandang akan tempoh masa di sini, iaitu masa bayaran diterima oleh Jakel Trading, dan manakala kes terhadap Najib hanya menjadi tajuk berita pada tahun 2015. Masa Jakel Trading terima bayaran adalah (pada 5 Julai, 2011 dan 19 Jun, 2013) bagaimana boleh dikatakan “berlakunya sesuatu yang salah?' Malah pegawai penyiasat sendiri menyatakan beliau hanya mendapat tahu mengenai dakwaan salah laku Najib pada 17 Mei, 2018 seperti mengikut keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dengan tiadanya apa-apa kesangsian yang nyata dalam transaksi pembelian, Jakel Trading tidak boleh dikatakan mempunyai maklumat lebih baik tentang sumber bayaran berbanding dengan pegawai penyiasat yang biasanya dan secara profesional mempunyai lebih banyak maklumat dalam hal ini,” katanya.

Bagi BN Johor Bahru, Ahmad Shahrir berkata tidak dipertikaikan bahawa parti politik itu menerima sejumlah RM1.5 juta dalam akaun Maybank Berhad miliknya menerusi cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 29 April 29, 2013 dan cek itu dikeluarkan dari akaun pertama Najib.

Beliau berkata wang dalam akaun pertama Najib adalah hasil daripada kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan wang berkenaan berkaitan dengan keputusan dan tindakan diambil oleh Najib berhubung pelaburan dan urus niaga 1MDB.

"Oleh itu akaun pertama mengandungi 'hasil daripada aktiviti haram' seperti didefinisikan mengikut Seksyen 3 AMLATFPUA. Cek dikeluarkan kepada BN Johor Bahru bagi jumlah RM1.5 juta berasal dari akaun pertama Najib. Ia dimasukkan ke dalam akaun Maybank Berhad Premier Mudharabah BN Johor Bahru dan transaksi ini melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan selaras dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) AMLATFPUA.

"Bagaimanapun, BN Johor Bahru secara khusus menegaskan jumlah RM957,395.65 dalam akaun Maybank Berhad parti itu tidak berasal daripada akaun pertama Najib tetapi daripada BN dan penyumbang lain yang dibuat antara bulan Januari dan Jun 2018. Malangnya, tiada tindakan spesifik dibuat oleh pemohon terhadap cabaran spesifik itu.

"Sehubungan itu, saya mendapati pemohon tidak berjaya membuktikan, atas kebarangkalian keseimbangan, bahawa jumlah RM957,395.65 milik Johor Bahru adalah perkara pokok atau bukti bagi kesalahan pengubahan wang haram. BN Johor Bahru menegaskan jumlah RM957,395.65 dalam akaun Maybank parti itu adalah daripada penyumbang-penyumbang," katanya.

Ahmad Shahrir berkata, isu sama ada terdapat perintah pembekuan dan rampasan yang sah turut mendapat perhatian mahkamah, dengan pemohon mengeluarkan perintah pembekuan bertarikh 25 Jun, 2018 dan kemudiannya mengeluarkan perintah rampasan pada 21 Sept dan kedua-dua perintah itu dialamatkan ke 'Maybank Berhad' sedangkan BN Johor Bahru menggunakan akaun Islamik iaitu Maybank Berhad Premier Mudharabah, bukan mana-mana akaun lain.

Beliau berkata bank yang betul bagi perintah pembekuan dan rampasan itu sepatutnya dialamatkan ke Maybank Islamic Berhad dan bukannya Malayan Banking Berhad, kerana kedua-duanya adalah entiti berbeza dan mempunyai lesen berasingan sebagai institusi kewangan.

"Permohonan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 AMLATFPUA mungkin dibuat bagi mana-mana harta yang dirampas di bawah Akta itu dan perintah rampasan dialamatkan secara salah tidak menjadikan betul, perintah rampasan yang betul dan sah. Akaun atas nama BN Johor Bahru tidak pernah diserahkan dengan perintah pembekuan dan rampasan.

"Akibat daripada ini nyata telah menjejaskan permohonan itu. Sebagai rumusan, saya mendapati bahawa mahkamah berpuas hati dan memutuskan bahawa pemohon tidak berjaya membuktikan syarat di bawah Seksyen 56 untuk RM957,395.65 di dalam akaun responden dilucut hak," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Samihah Rhazali dan TPR Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah mereka akan memfailkan permohonan rasmi untuk penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan, dalam tempoh 14 hari dari hari ini.

Peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman mewakili Jakel Trading manakala BN Johor Bahru diwakili peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman sivil untuk pelucutan hak terhadap 41 entiti, terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun Najib.


- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS