Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perkeso: 293,033 permohonan subsidi upah diluluskan setakat semalam

Sebanyak 293,033 permohonan Program Subsidi Upah (PSU) telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.03 bilion setakat semalam, kata Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Beliau berkata jumlah itu membabitkan 2.2 juta pekerja dan majoriti majikan yang membuat permohonan adalah dalam kalangan perusahaan mikro serta industri kecil dan sederhana.

“Untuk tempoh satu bulan pertama sejak ia diperkenalkan pada 1 April lepas, Perkeso telah menerima 248,216 permohonan daripada majikan yang mana merangkumi 1.98 juta pekerja,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, menyambut baik inisiatif kerajaan melanjutkan PSU kepada tiga bulan lagi, beliau berkata syarikat atau perusahaan masih memerlukan bantuan kewangan terutama perusahaan kecil dan sederhana bagi membolehkan pengoperasian syarikat menjadi lebih stabil.

“Oleh itu, mereka tidak akan mengambil langkah yang lebih drastik seperti melakukan pemberhentian pekerja,”katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha penaiktarafan portal pekerjaan Perkeso yang turut diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi memperkasakan rakyat, beliau berkata semua pihak layak memohon pekerjaan dalam portal itu secara percuma dan akan turut dibantu dari segi pencarian kerja dan latihan.

“Portal ini telah lama diwujudkan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tetapi kita naik taraf bukan hanya kepada pencarum atau mereka yang tertakluk kepada SIP tetapi diperluaskan kepada siswazah tamat belajar, penganggur dan sebagainya

Bagi mereka yang berada di kawasan yang kurang capaian internet pula, tak perlu risau, mereka hanya perlu ke Pusat Internet Desa (PID) di kawasan mereka, dan pengendali di PID yang telah dilatih Perkeso akan membantu mereka menggunakan portal berkenaan,” katanya.

Menjawab kegusaran orang ramai mengenai kerjasama platform portal itu dengan portal swasta dalam usaha menaik taraf portal pekerjaan yang mungkin mewujudkan pertindihan, beliau berkata tidak timbul isu berkenaan memandangkan fokus Perkeso hanya untuk membantu majikan mencari pekerja dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Pada 5 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PENJANA bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung.

Antara inisiatif lain di bawah PENJANA itu yang turut dipertanggungjawabkan kepada Perkeso termasuklah melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig dan insentif pengaturan kerja fleksibel.

Sementara itu Mohammed Azman dalam satu kenyataan hari ini berkata Perkeso akan melonggarkan beberapa syarat di bawah PSU bagi memperluaskan program itu dalam usaha membantu kerajaan menstabilkan pasaran buruh negara.

Antara kelonggaran yang diberikan termasuk membolehkan majikan mengurangkan waktu kerja atau gaji sedia ada dengan persetujuan antara majikan dan pekerja.

"Perkeso juga akan memperluaskan liputan dan memfokuskan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk pekerja yang bersetuju cuti tanpa gaji, khusus kepada perniagaan yang dilarang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan dan pengusaha hotel," katanya.

Mohammed Azman berkata, bagi menggalakkan perlindungan keselamatan sosial kepada semua, Perkeso akan melaksanakan program Geran Padanan untuk pekerja Ekonomi Gig dengan peruntukkan sebanyak RM50 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pekerja.

Menerusi program ini, dana padanan pada nisbah 70:30 atau kira-kira RM162.96 bagi setiap pekerja akan disediakan untuk perlindungan bencana kerja selama setahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Bagi membantu pencari kerja dan melancarkan padanan pekerjaan, Perkeso akan memanfaatkan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MyFutureJobs yang saling berkait dengan fungsi pengurusan kes yang membolehkan Kaunselor Kerjaya Perkeso menyediakan sokongan individu untuk pencari kerja terutama golongan yang mudah terjejas.

"Semua inisiatif ini akan dilaksanakan mulai 15 Jun 2020. Pengemaskinian insentif pengambilan pekerja akan dimuat naik ke www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS