Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli MT Bersatu yakin Muhyiddin kekal PM selepas PRU15
Diterbitkan:  Jun 8, 2020 9:05 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Anggota majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman yakin presiden partinya Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini meskipun Umno dan PAS di bawah Muafakat Nasional memberi gambaran bahawa Bersatu akan dipinggirkan dalam PRU akan datang, walaupun parti-parti itu kini bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Ya. Kerana itu antara asas pembentukan PN dan antara isi persefahaman kami untuk hadapi PRU," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya apakah beliau yakin Muhyiddin akan terus menjadi perdana menteri jika PN menang dalam PRU akan datang .

Semalam, pemimpin Bersatu yang disingkirkan, Maszlee Malik mengatakan situasi politik ini pada akhirnya akan menyaksikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi atau Najib Razak akan menjadi perdana menteri selepas PRU akan datang.


Baca: Bergayut di dahan PN jalan sukar buat Bersatu


Kedua-dua pemimpin Umno itu kini sedang menghadapi perbicaraan rasuah di mahkamah.

Maszlee berkata, beberapa pemimpin Umno sebelum ini turut menolak PN didaftarkan secara rasmi.

"Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari Umno yang mengesahkan untuk bertanding di PRU15 menerusi PN.

"Umno ialah parti dominan dan sudah tentulah calon perdana menteri bukan lagi Muhyiddin, tetapi daripada Umno. Calonnya sudah tentu Najib atau Zahid Hamidi," katanya.

Bagaimanapun Muhammad Faiz menolak pandangan Maszlee dengan menyifatkannya sebagai "spekulasi tidak berasas".

"Dr Maszlee bukan lagi ahli parti Bersatu. Jadi kenyataannya hanya spekulasi tanpa asas.

"Bersatu kini dalam Perikatan Nasional sepertimana PAS dan Umno. Kami semua bersatu di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadapi PRU," kata Muhammad Faiz.

Maszlee berpihak kepada bekas perdana menteri dan anggota parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang bersaing dengan Muhyiddin untuk menguasai semula Bersatu dan kerajaan.

Turut bersama Mahathir ialah anaknya Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Bersatu, yang kini dikawal Muhyiddin, mengisytiharkan keanggotaan kelima-lima pemimpin berkenaan terlucut serta merta selepas berpihak kepada pembangkang.

Susulan tulisan Maszlee, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyatakan PAS yakin bahawa PN dapat menyelesaikan 

PN sudah bersiap-sedia menghadapi PRU-15, termasuklah dalam soal memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin hari ini berkata ia hanyalah keyakinan yang dizahirkan oleh PAS kerana perkara itu masih belum dibincangkan.

Anggota majlis tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang merupakan antara penentang kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang,  berkata tanggungjawab pengagihan kerusi kini terletak pada kepemimpinan tertinggi Umno.

"Tanya presiden atau timbalan presiden Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS