Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim ini demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat susulan penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu yang dibuat pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini turut mengambil kira implikasi wabak terhadap kedudukan kewangan kelab amatur Liga M3.
“Dengan kebanyakan perlawanan Liga M3 di venue terbuka, ini pasti menyukarkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Malah, kekangan kewangan pasukan Liga M3 menyukarkan mereka mengikuti SOP atau membeli peralatan yang diwajibkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi proses saringan COVID-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MFL hari ini.
Menurutnya tambah memeritkan ada penaja pasukan yang tidak menyambung kontrak tajaan selain ada yang menarik diri selepas perniagaan terjejas oleh pandemik itu, sekali gus membantutkan lagi persediaan pasukan.
Selain itu katanya saingan Liga M3 yang dijangka bersambung September ini juga tidak akan dapat ditamatkan pada Disember nanti memandangkan terdapat 16 baki perlawanan yang perlu diharungi setiap pasukan.
Ini disebabkan kebanyakan pemain pasukan Liga M3 adalah penjawat awam dan pekerja swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu, katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata AFL sedang merangka mekanisme terbaik bagi membantu kelab amatur terbabit meneruskan perjuangan dalam saingan musim depan.
Beliau turut menyarankan penganjur Liga M4 mengambil langkah serupa membatalkan pertandingan bagi menjaga kesihatan pemain dan pasukan terlibat.
- Bernama