Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: AS catat lebih 110,000 korban, 2 juta kes setakat ini
Diterbitkan:  Jun 8, 2020 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

GLOBAL | Wabak Covid-19 setakat ini telah meragut lebih 110,000 nyawa di Amerika Syarikat (AS), berdasarkan kiraaan Reuters pada Ahad lalu.

Angka itu di tengah-tengah protes berhubung kematian George Floyd ketika ditahan polis di negara itu mencetuskan kebimbangan akan penularan virus tersebut.

Menurut Reuters, jumlah kes positif Covid-19 di AS kini menghampiri dua juta, iaitu tertinggi di dunia diikuti Brazil dengan sekitar 672,000 kes dan Rusia dengan sekitar 467,000.

Secara purata kira-kira 1,000 rakyat AS meninggal dunia akibat wabak itu berbanding 2,000 sehari pada April, menurut data negeri dan daerah mengenai kematian Covid-19.

Bagaimanapun menurut analisis Reuters, beberapa negeri di selatan AS melaporkan peningkatan mendadak kes, dengan Alabama, South Carolina dan Virginia menyaksikan kes baru meningkat sekurang-kurangnya 35 peratus pada minggu terakhir Mei berbanding dengan minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, kes Covid-19 di seluruh dunia hampir mencecah tujuh juta dengan sekitar 400,000 kematian, sejak ia mula merebak di China pada akhir tahun lalu.

Analisis Reuters menunjukkan AS berada di kedudukan kelapan berdasarkan kematian per kapita, dengan 3.3 kematian bagi setiap 10,000 orang.

Belgium menjadi negara paling teruk terjejas dengan lapan kematian setiap 10,000 orang, diikuti oleh United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Sweden, menurut analisis itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS