Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong memberi peringatan bahawa seperti kerajaan lain, langkah sokongan kewangan yang besar di republik itu tidak dapat melindunginya daripada perubahan yang berlaku dalam ekonomi global akibat Covid-19.
“Kerajaan telah membelanjakan trilion dolar untuk menyokong perniagaan, ekonomi dan pekerjaan. Bagaimanapun, berpuluh juta pekerjaan hilang. Keluarga berdepan kesukaran.
“Kita sepenuhnya berada dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Lee dalam satu daripada enam siri siaran nasional mengenai masa depan Singapura selepas pandemik Covid-19, hari ini.
Lee, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan empat menteri akan menyampaikan ucapan dalam siri siaran nasional itu bermula hari ini sehingga 20 Jun.
Mereka akan memberi penjelasan mengenai gambaran masa depan Singapura pada pasca Covid-19 dan menyusun rancangan agar negara itu lebih kuat dalam menempuh kesukaran.
Lee berkata Singapura turut terjejas apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu dijangka menguncup antara 4.0 dan 7.0 peratus pada tahun ini yang disifatkannya sebagai “penyusutan paling buruk pernah kami alami.”
Untuk melindungi pekerja, isi rumah dan syarikat, Perdana Menteri berkata kerajaan Singapura melaksanakan empat belanjawan negara secara berturut-turut.
“Kami menyuntik hampir S$100 bilion atau 20 peratus daripada KDNK, intervensi fiskal terbesar dalam sejarah kami,” katanya.
Bagaimanapun, perdana menteri itu melahirkan keyakinannya bahawa republik itu mampu menikmati masa depan yang cerah walaupun berdepan cabaran yang besar pada masa ini.
“Perdagangan dan pelaburan antarabangsa mungkin merosot, namun tidak akan hilang sepenuhnya.
“Sebahagian aliran akan dialihkan atau terhenti, namun, saluran baru yang lain akan dibuka. Pasaran luar negara masih ada di samping peluang dalam perkongsian antarabangsa,” katanya.
Selain Covid-19 dan cabaran ekonomi, Lee berkata Singapura perlu menguruskan isu-isu penting lain di peringkat domestik dan luaran.
“Di peringkat luaran, kami perlu mengharungi landskap strategik yang mengalami perubahan.
"Covid-19 telah memburukkan hubungan Amerika Syarikat dan China. Tindakan dan tindak balas semakin meningkatkan ketegangan hari demi hari.
“Ia akan menjadi lebih sukar kepada negara-negara yang berpihak kepada kedua-dua kuasa itu. Ia lebih berbahaya kepada negara kecil seperti Singapura,” katanya.
Sehubungan itu, Lee berkata republik itu antara lain perlu bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk menyokong perdagangan bebas dan multilateralisme.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.