Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'gor teliti garis panduan sebelum benarkan kedai gunting rambut beroperasi

Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti beberapa garis panduan yang bakal dilaksanakan sebelum membenarkan premis gunting rambut, salun dan pasar malam beroperasi semula di negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau akan berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk melihat bagaimana operasi premis perniagaan terbabit boleh dilaksanakan.

"Saya akan bermesyuarat pada Selasa dan Rabu dengan PBT Selangor berhubung perkara ini, sebenarnya minggu lepas kita telah berikan sedikit taklimat kepada mereka dan mereka sebenarnya sudah bersiap sedia.

"Kita nak bincang untuk lihat pelaksanaannya dan saya mahu pastikan semua pihak patuh kepada garis panduan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Langat Murni, Bukit Changgang di Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata garis panduan itu akan lebih tertumpu kepada operasi pasar malam kerana membabitkan lebih ramai orang.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan dibuka semula bermula 10 Jun ini.

Kebenaran itu turut diberikan untuk operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka mulai 15 Jun.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenai kenaikan sewa tapak di Pasar Jalan Othman.

“Saya sedang menghubungi pihak MBPJ mengenai perkara ini untuk melihat kenapa keputusan ini diambil dan bagaimana ia dilakukan.

“Jika ada kewajaran untuk menilai semula keputusan itu, saya akan minta mereka berbuat demikian,” katanya.

Semalam, sekumpulan peniaga mendakwa sewa tapak pasar itu dinaikkan sehingga 300 peratus berdasarkan notis pemberitahuan yang dikeluarkan MBPJ.

Terdahulu, Amirudin menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran berikutan wujudnya kes positif COVID-19 di kawasan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS