Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Dokumen keputusan ujian Covid-19 hanya sah pada masa ujian

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, dokumen keputusan ujian Covid-19 hanya sah pada masa ujian dan tidak boleh digunakan untuk menentukan status individu selepas itu.

"Kita tak beri band ataupun berpandukan kepada surat. Surat itu hanya valid ketika ujian tersebut. Mereka yang telah melakukan ujian, pada masa tersebut, mereka mungkin negatif.

"Esok, lusa tak tahu lagi, mereka mungkin positif jadi surat tersebut mungkin tak laku.

"Mereka yang disaring, contohnya kita lihat, hanya pada masa tu yang didapati negatif tapi mungkin esok, lusa, mereka terdedah lagi kepada komuniti dan kita tahu dalam komuniti ada virus tersebut, mereka mungkin dijangkiti virus tersebut," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan menyimpan rekod mereka yang telah menjalani ujian saringan sama ada saringan lokaliti atau kumpulan sasaran.

"Apa yang penting ialah rujuk kepada MOH dan kita akan ada rekod," jelasnya.

Dilaporkan semalam, polis menahan dua individu yang dikaitkan dengan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian Covid-19 yang negatif kepada warganegara asing.

Pihak polis berkata, sindiket berkenaan beroperasi selama kira-kira satu atau dua minggu dari kaki lima kedai di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Mereka mengenakan bayaran RM50 untuk setiap dokumen keputusan ujian saringan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS