Pejabat Menteri Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa seorang pemimpin Pemuda Umno dilantik sebagai pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikatakan dilantik bagi jawatan itu.
"Pihak pejabat menteri juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menyebarkan berita palsu tersebut," kata Setiausaha Politik Hamzah, Sayyed Amir Muzakkir Al Sayed Mohamad dalam satu kenyataan.
Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo, bagaimanapun tidak menafikan atau mengesahkan perkara itu.
Carian di laman web Kementerian Dalam Negeri awal minggu ini juga tidak mendapati pemimpin Pemuda Umno berkenaan berada dalam senarai direktori kementerian.
Sambil menyelar penyebaran berita palsu tersebut, Sayed Amir berkata KDN akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam menangani penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Sebelum ini beberapa siri pelantikan politik dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mengambil alih kuasa pada Mac lalu.