Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan kegiatan kesatuan: NUWHSAS pertikai penjelasan syarikat
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 5:12 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) mempertikai penjelasan yang diberikan syarikat pembersihan UEM Edgenta, berkenaan apa yang disuarakan mereka ketika bantahan pada 2 Jun lalu.

Selain itu persatuan itu juga mendakwa pihaknya sudah banyak kali membuat aduan berkenaan soal sekatan terhadap kegiatan kesatuan tetapi tidak dilayan.

"Malah masalah masih berterusan.

"Pekerja pembersihan hospital diugut untuk tidak melakukan urusan kesatuan, walaupun pada masa rehat dan jika ingkar, majikan akan beri arahan untuk tukar kerja ke hospital lain atau diberi surat amaran," kata Setiausaha Eksekutif NUWHSAS M Saraswathy dalam sidang media yang disiarkan di laman Facebook persatuan tersebut.

Sementara itu Pengerusi NUWHSAS P Selvam mendakwa masalah sekatan itu kian serius walaupun dinafikan syarikat, dan berhasrat membawa perkara itu ke Mahkamah Perusahaan pada masa akan datang.

Pada 4 Jun lalu, lima anggota NUWHSAS termasuk Saraswathy didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Mahkamah Majistret Ipoh, ekoran mengadakan protes di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di sana, dua hari sebelumnya.

Protes itu antara lain mendakwa layanan buruk yang diterima majikan, termasuk tidak menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang mencukupi, serta kegiatan majikan menyekat kegiatan kesatuan.

UEM Edgenta kemudian tampil memberikan penjelasan, antaranya mereka mempunyai protokol tertentu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja.

Berkenaan sekatan terhadap kegiatan kesatuan pula, syarikat itu berkata tiada bukti bahawa penyelia syarikat mengganggu jawatankuasa tempat kerja kesatuan, dan penggunan sumber dalaman yang dilakukan Edgenta Mediserve, yang dilihat sebagai menyekat kegiatan keatuan, adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan semalam, UEM Edgenta berkata pihaknya bersikap profesional terhadap persatuan itu.

“Tindakan pihak berkuasa ke atas organisasi tersebut semasa bantahan kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak ada kaitan dengan syarikat,” kata kenyataan itu.

Kata syarikat itu lagi, pihaknya juga tidak menghalang sebarang aktiviti kesatuan asalkan ia dilakukan di luar waktu kerja dan pekerja juga boleh menyuarakan aduan ke pihak atasan sekiranya tindakan tersebut benar berlaku.

Pihaknya akan mengambil berat terhadap dakwaan tersebut dan akan menubuhkan jawatankuasa dalaman untuk mengkajinya, kata syarikat itu lagi.

"Kami setuju dengan pendirian Kementerian Kesihatan pada 4 Jun iaitu untuk memastikan tiada gangguan perkhidmatan di semua hospital dan menguruskan sebarang isu berkatain kebajikan pekerja secara dalaman."

Syarikat itu mendakwa hanya enam pekerja yang menolak terma yang ditawarkan, daripada 2,200 pekerja yang diserap daripada subkontraktor sebelum ini.

"Ia dilaksanakan dengan semangat menawarkan mata pencarian yang lebih baik terhadap pekerja kami, di mana faedah yang diterima antaranya pekerjaan tetap, sumbangan KWSP 13 peratus dan faedah kesihatan seperti insurans," kata syarikat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS