Pemimpin NGO Refuge for the Refugees, Heidy Quah menyatakan rasa bingung dan terkilan dengan tahap kebencian sesetengah rakyat Malaysia terhadap pelarian dan imigran.
Portal media FMT melaporkan Quah sebagai berkata bahawa dia menerima banyak mesej kecaman yang kejam di akaun media sosialnya selepas menyorot mengenai keadaan pelarian di pusat tahanan.
“Saya sudah bekerja dalam bidang ini hampir 10 tahun. Saya pernah terima beberapa kritikan, tetapi tidak ekstrem seperti ini.
"Orang ramai menghantar segala jenis komen kebencian dalam ‘inbox’ saya dan bukan hanya menghina pemikiran serta pendapat saya.
“Tak apa jika anda mahu melepaskan kemarahan, tetapi jangan sampai tahap mengugut keselamatan saya. Jangan sampai tahap menyerang keluarga dan bangsa saya,” katanya.
Pada 5 Jun, Quah berkongsi catatan Facebook dengan tangkap layar salah seorang pengguna media sosial yang mengecamnya.
Sebelum itu, Quah telah berkongsi pengalaman menolong seorang wanita yang bertungkus lumus menjaga bayinya di pusat tahanan.
"Dia (wanita berkenaan) ditahan sejurus melahirkan bayi kecilnya.
"Sel sangat sempit sehingga tidak ada tempat tidur. Hampir tidak ada makanan untuk dimakan.
"Tidak ada akses kepada tuala wanita. Dia terpaksa berdarah melalui seluarnya setiap hari, dan mencucinya dengan air yang tidak bersih," kata Quah.
Quah mendedahkan bahawa bayi itu juga terpaksa menggunakan t-shirt untuk dijadikan lampin.
“Kita benar-benar bertuah tidak lahir dalam keadaan sama seperti mereka, tetapi bagaimana jika kita seperti mereka? Bagaimana kita mahu dilayan dan ditangani?” soalnya.
Quah mengatakan bahawa wanita itu juga digari di meja ketika dia menemuinya, sambil bercakap dengannya melalui dinding plastik.
Quah berkata bahawa dia merancang untuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung kecaman yang diterimanya.