Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Warga Israel protes rancangan rampas tanah di Tebing Barat
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 10:49 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

GLOBAL | Ribuan warga Israel mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah rancangan rejim Zionis untuk merampas dan mengambil tanah orang Palestin di Tebing Barat.

Tunjuk perasaan anjuran parti-parti politik dan NGO sayap kiri itu diadakan pada malam Sabtu di Tel Aviv, ibu kota Israel.

Menurut laporan AFP, para penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan Palestin dan mengangkat sepanduk membantah langkah itu, yang dijangka bermula 1 Julai ini, seperti yang dipersetujui perdana menteri Benjamin Netanyahu dan ketua Parti Biru Putih, Benny Gantz.

Seorang penunjuk perasaan berkata sekian lama orang Palestin dan Yahudi telah banyak "melakukan kerosakan kepada satu sama lain" dan menyeru agar solidariti antara mereka ditingkatkan.

"Kita bersaudara - Ini tempat tinggal kita bersama, lebih banyak yang kita boleh lakukan jika bersama berbanding terpisah," kata Anat Schrieber seperti dipetik AFP.

Seorang lagi peserta menyeru "keadilan buat orang Palestin dan keamanan buat kedua-dua orang Palestin dan Israel", menurut laporan itu lagi.

"Dalam hakikat apartheid tidak akan ada keamanan untuk kami dan juga mereka, mahupun keadilan.

"Saya takut dengan rancangan pengilhakan ini...Saya rasa ia akan membawa kepada huru-hara dan malah perang. Rancangan itu tidak akan mencapai apa-apa...(Dan) tiada hubungan dengan keamanan," kata wanita itu kepada AFP.

Rancangan itu yang dikenali "Perjanjian Abad Ini", diumum Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 28 Januari.

Menerusi rancangan itu, Israel dibolehkan merampas kawasan di Tebing Barat, antara lain untuk membina penempatan Yahudi.

Sebagai tindak balas, Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Mei lalu menghapuskan semua perjanjian dan kesepakatan dengan Israel dan AS, termasuk perjanjian keselamatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS