Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suaram bimbang PN kembali ke cara kerajaan BN
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Suaram menyatakan kebimbangannya mengenai kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan kembali kepada cara lama rejim BN yang sering mengganggu aktivis menggunakan undang-undang menindas.

"Berita mengenai aktivis dan ahli politik dikenakan tindakan melalui undang-undang menindas dan berdepan gangguan daripada agensi kerajaan adalah ciri khas rejim BN ketika mereka berkuasa sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Peningkatan semula kejadian tersebut akhir-akhir ini menunjukkan bahawa pentadbiran PN tidak berbeza dan sedia menyalahgunakan kewibawaan serta institusi negara ke atas aktivis dan penentang politik yang sah," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, dalam satu kenyataan hari ini.

Antara insiden melibatkan aktivis atau ahli politik yang disiasat polis ialah siasatan ke atas koresponden South China Morning Post di Malaysia, Tashny Sukumaran, berhubung ciapannya mengenai serbuan Jabatan Imigresen di Selangor Mansion, Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.

Selain itu kes membabitkan pengasas Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) R Sri Sanjeevan; aktivis masyarakat, Fadiah Nadwa Fikri, dan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr A Xavier Jayakumar.

Semalam, media melaporkan Cynthia disoal siasat polis berhubung surat C4 pada 14 Mac bertajuk ‘Anti-corruption rhetoric will never purify the unelected Perikatan Nasional gov't’.

Sevan turut membangkitkan penahanan lima aktivis dari Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidatan Bersekutu (NUWHSAS) yang terdiri daripada pekerja pembersihan hospital, ahli kesatuan sekerja, dan penyokong mereka.

"Individu-individu ini ditahan dan dihukum menggunakan undang-undang yang menindas dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menolak untuk menghapuskannya semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

"Ini merupakan penghinaan terhadap perjuangan rakyat untuk demokrasi dalam PRU ke-14 dulu.

"Ruang demokrasi yang dituntut semula oleh rakyat pada 9 Mei 2018 tidak boleh terhakis dengan perubahan pentadbiran semata-mata atau ditumbangkan oleh kehendak ahli politik yang tidak masuk akal," katanya.

Justeru Sevan meminta siasatan "bermotif politik" ditarik balik dan sebarang gangguan yang dikenakan ke atas musuh politik kerajana dihentikan.

"Suaram juga meminta siasatan bebas terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh pentadbiran sekarang untuk mereka membungkam aktivis dan penentang politik, serta meminta jawatankuasa terpilih parlimen untuk bersidang secepat mungkin untuk menangani masalah itu," katanya.

PN menerajui Putrajaya susulan rampasan kuasa pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan, yang menyaksikan kerajaan persekutuan PH yang memerintah selama 22 bulan itu tumbang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS