Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH tak tanding PRK Chini
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 9:34 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

PKR mengumumkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) di dewan undangan negeri Chini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Malaysiakini bahawa ia juga bermakna Pakatan Harapan (PH) tidak akan meletakkan calon.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, partinya membuat keputusan itu dibuat selepas mengambil kira masalah Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara.

"Pada masa yang sama, dalam konteks kebiasaan baharu, prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihan raya, namun aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan.

"PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

"Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

PRK Chini di Pahang akan menjadi yang pertama diadakan ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub menyarankan agar Pakatan Harapan (PH), gabungan yang dianggotai PKR, tidak meletakkan calon.

Mustapha berkata ini kerana PH tidak mampu untuk menandingi kekuatan gabungan BN dan PAS, selain Chini telah sekian lama menjadi kubu kuat BN.

PAS pula sebelum ini telah mengumumkan tidak akan meletakkan calon di PRK itu dan akan menyokong calon Perikatan Nasional (BN), gabungan baru yang dianggotai BN.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sebelum ini mencadangkan PH bertanding demi "mempertahakan prinsip".

Menurut Khalid, adalah menjadi tanggungjawab PH membawa mesej kepada rakyat untuk mewujudkan pentadbiran bersih dan bebas rasuah menerusi setiap pilihan raya termasuk PRK Chini.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata pihaknya sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14 DUN Chini, Abu Bakar yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,622 selepas mendapat 10,027 undi atau 47.2 daripada jumlah keseluruhan undi.

Kerusi DUN itu mempunyai 21,251 pengundi terletak di bawah parlimen Pekan yang disandang oleh bekas perdana menteri Najib Razak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS