Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang mengumumkan keluar dari PKR untuk menjadi anggota parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ketika dihubungi, Jugah mengesahkan beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk mengumumkan langkah itu berkuatkuasa serta merta.

"Saya berikrar menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, perdana menteri Malaysia dan kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai YAB Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohri bin Tun Abang Haji Openg, ketua menteri Sarawak demi kesejahteraan dan pembangunan kepada rakyat di Lubok Antu.

"Dengan ini saya mengumumkan untuk keluar dari PKR dan kekal menjadi ahli parlimen Bebas yang menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional serta kerajaan GPS di negeri Sarawak," kata Jugah dalam kenyataan itu.

Jugah, yang juga naib presiden PKR yang dilantik, bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan umum raya lalu sebelum menyertai PKR.

Dalam kenyataannya, Jugah berkata Lubok Antu merupakan kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan serta sokongan dari kerajaan untuk pembangunan.

"Saya telah berincang dengan penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu, katanya.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Selangau yang juga pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

Keputusan Jugah itu bermakna hanya dua anggota parlimen PKR di Sarawak yang masih bersama parti itu  iaitu Anggota Parlimen Julau, Larry Sng dan Anggota Parlimen Miri, Michael Teo.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu, Muhyiddin hanya memiliki majoriti tipis dua kerusi parlimen untuk membolehkannya menyandang jawatan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS