Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tambang RM30 sebulan untuk pengangkutan awam di Lembah Klang
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 4:22 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kerajaan akan memperkenalkan Program MY30 bagi mengurangkan beban pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata menerusi insentif itu pengguna hanya perlu membayar RM30 sebulan atau RM1 sehari bagi pas perjalanan tanpa had untuk pengangkutan awam di bawah bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

"Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga hujung 2020.

"Saya ingin mengingatkan saudara-saudari supaya mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial ketika menggunakan pengangkutan awam," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berhubung Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Pelan jangka pendek dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi' itu merupakan strategi kerajaan di bawah fasa pemulihan dalam cabaran menangani Covid-19.

Selain itu, di bawah pelan itu, Muhyiddin juga mengumumkan bantuan 'one off' sebanyak RM300 kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

"Bayaran ini InshaAllah akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha," katanya.

Sementara itu, bagi golongan yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan memperuntukkan geran RM140 juta untuk mendorong mereka beralih kepada khidmat digital atau dalam talian.

Peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.

Jelas Muhyiddin, inisiatif itu akan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata di bawah Penjana, kerajaan telah mengenal pasti tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Secara keseluruhan, kata Muhyiddin, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS