Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaitkan dengan Bersatu tanda PN terdesak, kata Salahuddin
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 2:17 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau bersama beberapa lagi pemimpin kanan parti itu akan menyertai Bersatu.

Menurut anggota parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu dakwaan tersebut adalah tindakan terdesak pihak tertentu yang tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air.

"Ternyata pihak cytro (laskar siber) Perikatan Nasional (PN) sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air sehingga terdesak menyebarkan berita palsu tentang kononnya saya dan beberapa pimpinan Amanah akan menyertai Bersatu dalam masa yang terdekat.

"Laporan yang merupakan fitnah murahan itu tidak akan sedikitpun menjejaskan usaha dan komitmen Pakatan Harapan mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara daripada bencana politik PN.

"Saya mengharapkan rakyat Malaysia dapat bersama PH mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baru yang bebas rasuah dan penyelewengan serta menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, portal SuaraTV melaporkan Salahuddin bersama Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat) dan Dr Hasan Baharom (Tampin) akan meninggalkan Amanah dan menyertai Bersatu.

Laporan itu menyebut tiga pemimpin itu berhasrat mengukuhkan lagi kerajaan PN.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu tersebut," kata Salahuddin lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS