Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) R Sri Sanjeevan, 36, hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat tuduhan palsu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Twitter.
Beliau membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Berdasarkan pertuduhannya, Sanjeevan yang juga seorang ahli perniagaan didakwa pada 18 Mac 2020 pada pukul 4.20 petang membuat ciapan Twitter yang didakwa mengandungi tuduhan palsu terhadap PDRM dengan niat menganiaya orang lain.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat kesalahan yang sama pada 16 Mei 2020 pada pukul 9 malam.
Beliau dibicarakan di bawah seksyen 322 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, (Akta 588).
Kedua-dua tuduhan dibaca secara berasingan.
Sanjeevan mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
Sekiranya didapati bersalah, bagi setiap pertuduhan dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz meminta mahkamah untuk mengenakan bayaran ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Syamimi juga mencadangkan mahkamah supaya meletakkan syarat tambahan iaitu larangan bersuara (gag order) pada masa akan datang.
"Tujuan pihak pendakwa meletakkan jaminan RM20,000 adalah untuk memastikan OKT (Orang Kena Tuduh) datang ke mahkamah untuk perbicaraan.
"Syarat tambahan adalah untuk dengan tujuan OKT tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama," kata Syamimi.
Bagaimanapun, peguam Preakas Sampunathan yang mewakili Sanjeevan meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM2,000 hingga RM3,000 atas alasan anak guamnya mempunyai rekod penghadiran ke mahkamah yang baik.
"Anak guam saya telah pun dituduh beberapa kali di bawah Seksyen 322 dan dibebaskan oleh semua mahkamah," kata Preakas merujuk kepada dua kes sebelum ini di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
"Beliau sentiasa mempunyai 'track record' yang baik, selalu hadiri ke mahkamah," tambahnya.
Bagi syarat tambahan, Preakas berkata bahawa ia melanggar hak kebebasan bersuara seperti diperuntukkan di bawah Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan.
"Kita berhak memberi ataupun rakam pandangan kita. PDRM bukan seorang individu tapi sebuah agensi tertakluk kepada kritikan sekiranya gagal menjalankan tugas.
"Mahkamah tidak boleh membenarkan larangan bersuara. Ia salah di bawah Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Hakim Ahmad Kamar kemudian membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin.
Hakim juga menolak permohonan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwa raya.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai 2020.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Sanjeevan berkata bahawa beliau tetap akan bersuara terhadap salah laku pihak polis.
"Saya akan terus menggunakan media sosial atau menyuarakan pendapat. Itu hak kita sebagai rakyat Malaysia.
"Jadi selagi kita tidak melakukan apa-apa menyalahi undang-undang, atau pun di luar batasan undang-undang saya rasa tidak ada masalah," katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu, beliau diminta mengulas tentang pendirian peribadi selepas dikenakan dua pertuduhan baru hari ini.
"Saya telah pun berhadapan banyak kes sebelum ini, dan dah menang. Saya percaya kebebasan bersuara di negara ini dan saya akan berhadapan proses perbicaraan yang sewajarnya dan saya ingin membuktikan bahawa saya tidak bersalah di dalam mahkamah.
"Pertuduhan-pertuduhan seperti ini sama sekali tidak akan melunturkan semangat juang saya.
"Saya tidak akan berdiam diri melihat sebarang kemungkaran atau pun ketidakadilan. Itu pendirian saya," katanya.