Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkeso: Buat aduan jika majikan gagal bayar subsidi upah, ERP

Pekerja yang tidak menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) daripada majikan boleh membuat aduan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab dan gagal menyalurkan bayaran tersebut kepada pekerja masing-masing.

"Perkeso tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menyalahgunakan bantuan kerajaan kerana matlamat kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Prihatin yang sedang dilaksanakan adalah bertujuan meringankan beban majikan dan pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aduan boleh dibuat melalui talian hotline atau hadir ke mana-mana pejabat Perkeso berdekatan.

Beliau berkata sehingga semalam, Perkeso menerima 307,171 permohonan PSU daripada majikan yang mewakili 2.49 juta pekerja.

"Daripada permohonan yang diterima, Perkeso meluluskan 288,544 permohonan dan selebihnya masih dalam tindakan, berada di peringkat kuiri atau ditolak kerana tidak memenuhi syarat program.

"Daripada jumlah tersebut, 283,986 majikan telah mendapat bayaran pertama PSU manakala 169,322 majikan telah mendapat bayaran kedua," katanya.

Pekerja boleh menyemak sama ada majikan mereka telah mendapat bayaran PSU melalui senarai di pautan https://prihatin.perkeso.gov.my/psu/.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Perkeso melalui e-mel [email protected] atau talian 1300228000.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS