Media Prima Berhad (Media Prima) akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.
Kumpulan itu berkata, perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19, telah memaksa Media Prima untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Media Prima berkata transformasi itu merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.
Inisiatif-inisiatif itu akan melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketidakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.
“Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Media Prima sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.
“Di mana rasionalisasi tenaga kerja harus dilakukan, sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, Media Prima akan memastikan pekerja yang terjejas menerima pakej pampasan yang adil dan saksama tertakluk kepada undang-undang dan perjanjian kolektif kesatuan masing-masing yang akan dibayar setelah memenuhi semua syarat perundangan yang diperlukan,” kata kenyataan itu.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.