Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: KKM sudah jelajahi 6 negeri bagi pemerkasaan komuniti - Dr Adham

Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjelajah ke enam buah negeri bagi aktiviti Pemerkasaan Komuniti Dalam Program Pengurangan Risiko Penularan Jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata sehingga hari ini, KKM sudah turun padang ke Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pahang menerusi program berkenaan.

“Kita menjelajah ke beberapa negeri terutamanya yang memang zon kuning dan zon hijau. Jadi kita minta mereka supaya membuat pemerkasaan komuniti atau masyarakat sendiri yang menjadi ‘frontliners’ bagi melindungi kawasan serta keluarga dan diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa temu bual melalui panggilan telefon dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

Program bermula sejak Jumaat lepas (29 Mei) itu bertujuan sebagai persiapan program pemerkasaan komuniti peringkat daerah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.

Dalam sesi temu bual kira-kira lima minit itu, Dr Adham turut memberitahu daripada 1,178 kawasan di seluruh negara, sebanyak 1,116 atau 94 peratus dikategorikan sebagai zon hijau.

Daripada jumlah keseluruhan itu, beliau berkata lima daerah masih dikategori sebagai zon merah, masing-masing dua di Selangor iaitu Hulu Langat dan Sepang; Kuala Lumpur (Bukit Jalil dan Cheras) serta Pedas di Negeri Sembilan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memuat turun aplikasi MySejahtera bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat terkini berhubung wabak Covid-19 di kawasan masing-masing.

Sementara itu menerusi beberapa hantaran di Facebook rasminya, Menteri Kesihatan itu turut aktif mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa menteri besar bagi membincangkan perkembangan terkini Covid-19 di negeri masing-masing.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS