Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Protes majikan: 5 ahli kesatuan sekerja mengaku tak bersalah

Lima individu yang ditangkap ketika melakukan bantahan terhadap sebuah syarikat pembersihan hospital semalam dua hari lalu didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pekerja pembersihan hospital, ahli kesatuan sekerja, dan penyokong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di depan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Menurut kertas pertuduhan yang dilihat Malaysiakini, mereka didakwa melanggar Sekseyn 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang melarang perhimpunan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) peraturan sama yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Noor Azreen menetapkan ikat jamin RM1,000 seorang dan 9 Julai untuk sebutan kes.

K Kunasekaran, salah seorang peguam yang mewakili mereka, meminta ikat jamin diketepikan tetapi ditolak.

Bercakap dengan Malaysiakini, Kunasekaran berkata dia berhujah bahawa protes aman di depan hospital itu dibuat dengan niat baik.

"Mereka aktivis, bukan penjenayah. Mereka hanya mahu menyerahkan memorandum bagi pihak pekerja," katanya.

Beliau juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, dan mengatakan bantahan itu berkenaan kepentingan awam dan berkenaan hak pekeja pembersihan hospital.

Timbalan pendakwa raya ialah K Darinee manakala seorang lagi peguam yang mewakili mereka ialah Bawani KS.

Pada 2 Jun lalu, polis menahan lima ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS), termasuk setiausaha eksekutifnya M Saraswathy, ketika mengadakan bantahan terhadap majikan Edgenta UEMS.

Mereka antara lain menyuarakan bantahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai menyekat kegiatan kesatuan sekerja dan layanan buruk terhadap pekerja pembersihan hospital termasuk tiada peralatan perlindungan diri (PPE) yang cukup dan pemaksaan menukar waktu bekerja.

NUWHSAS mewakili ahli para pekerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan pada hari sama, UEM Edgenta berkata pihaknya mempunyai protokol tertentu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja.

Syarikat itu turut mendakwa mereka mempunyai saluran komunikasi dan komited untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan pekerjanya secara aman.

Hari ini, UEM Edgenta sekali lagi memberikan penjelasan berkenaan bantahan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS