Adun Bersatu Johor mengadakan satu pertemuan bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, malam semalam susulan dakwaan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) di Johor bakal tumbang.
Semalam, sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.
“Semua Adun yang hadir akur dengan titah DYMM Sultan Johor untuk bersama-sama memastikan kepentingan rakyat dijunjung dan pada masa yang sama akan menguatkan Bersatu negeri sebagai pendokong kerajaan negeri,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh Adun Pemanis, Dr Chong Fat Full, yang sebelum ini bersama PKR tetapi kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas yang mesra PN.
Walau bagaimanapun, Adun Kempas, Osman Sapian yang juga adalah bekas menteri besar tidak hadir.
Menurut kenyataan itu, mereka yang hadir menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
“Dalam pertemuan hampir dua jam itu, Tan Sri selaku Presiden Bersatu juga telah mendapat sokongan penuh berhubung kedudukan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah tergugur taraf keahliannya dalam Bersatu.
“Bersatu Johor juga memandang tinggi pencapian Tan Sri Muhyiddin sepanjang mentadbir negara dalam menangani isu ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh rakyat akibat serangan virus Covid-19,” kata mereka.
Sempena pertemuan itu, Adun Bersatu Johor juga menghadiahkan kemeja T yang tertera slogan “Ikut Nasihat Abah; Kita Mesti Menang”.
Melalui satu catatan di Facebook, semalam, ultan Johor bertitah bahawa baginda tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan dan jika berlaku lagi perebutan kuasa, Dewan Negeri Johor akan dibubarkan serta merta.
Titah itu dibuat susulan Pakatan Harapan Johor mendakwa mereka mempunyai jumlah wakil rakyat yang mencukupi bagi mengambil alih semula negeri itu setelah PN merampas kuasa pada bulan Februari lalu.
Spekulasi adalah bahawa ada Adun Bersatu yang ingin kembali dan meninggalkan PN.
PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.
PN berkuasa pada Februari lalu setelah Muhyiddin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.