Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat pembersihan tampil jawab dakwaan sekat kegiatan kesatuan
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 9:46 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

UEM Edgenta Bhd tampil menafikan dakwaan yang mengatakan syarikat itu menyekat kegiatan kesatuan pekerja.

Ia susulan tunjuk perasaan pada 2 Jun oleh pekerjanya yang menuduh syarikat berkenaan menyekat kegiatan kesatuan.

"Penggunaan sumber dalaman yang dilakukan oleh Edgenta Mediserve, misalnya, penyediaan perkhidmatan pembersihan yang akan dilakukan oleh Edgenta UEMS mulai 1 Januari 2020 dan seterusnya, dipandang sebagai menyekat kegiatan kesatuan pekerja.

"Ini tidak benar kerana keputusan untuk mengambil sumber dalaman dibincangkan dalam UEM Edgenta (syarikat induk Edgenta UEMS dan Edgenta Mediserve) untuk jangka waktu tertentu," kata UEM dalam satu kenyataan.

UEM berkata keputusan penggunaan sumber dalaman dibuat atas pertimbangan perniagaan bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pembersihan di hospital dan membolehkan pekerja diambil bekerja secara langsung di bawah Edgenta UEMS dan bukan secara subkontrak.

Susulan penggunaan sumber dalaman itu, kata kenyataan itu, seramai 2,200 pekerja pembersihan dari subkontraktor sebelumnya diambil bekerja di Edgenta UEMS, sementara gaji pokok mereka dinaikkan dari RM1,100 menjadi RM1,200 sebulan.

UEM juga menafikan dakwaan yang mengatakan penyelia syarikat itu mengganggu dan mengintimidasi jawatankuasa tempat kerja kesatuan.

Kata UEM, tidak ada perincian dan bukti mengenai tuduhan tersebut.

Sementara dakwaan mengenai pekerja yang tidak dilengkapi dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai, syarikat itu berkata bekalan dan stok PPE sudah mencukupi sejak April 2020, dan kakitangan telah diberikan PPE yang sesuai berdasarkan panduan penggunaan yang disyorkan oleh hospital.

UEM juga berkata sebarang perubahan dalam jadual kerja adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pemberitahuan mengenai perubahan telah disampaikan melalui memo kepada kakitangan bertarikh 11 Februari 2020.

Kata UEM, pemindahan pekerja adalah dari permintaan pihak hospital kerana prestasi yang tidak memuaskan dan bukaanya bagi menghukum kakitangan yang aktif dalam persatuan.

Syarikat itu juga dengan tegas menolak tuduhan bahawa pekerja mereka terpaksa bekerja lebih lama tanpa gaji lebih masa.

UEM juga menegaskan bahawa dasar syarikat tidak menghalang pekerja daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkaitan dengan kesatuan selagi ia dilakukan di luar waktu kerja.

Mengenai tuduhan mendiskriminasi anggota kesatuan pekerja dengan tidak memberi mereka peluang untuk bekerja lebih masa, syarikat itu mengatakan bahawa ia hanya memilih pekerja yang dilatih dan biasa dengan keperluan kerja di kawasan itu tanpa mengira sama ada mereka anggota kesatuan atau bukan.

Sebelum ini, polis menahan lima ahli kesatuan itu termasuk setiausaha eksekutifnya M Saraswathy ketika mengadakan bantahan di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas, serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan cuai dan menyalahi undang-undang yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Mereka juga disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Selain Saraswathy, mereka yang ditangkap termasuk pegawai kesatuan sekerja, L Danaletchumy dan V Santhiran, serta anggota PSM P Jothi dan C Subramaniam @ Raja.

Selepas tunjuk perasaan itu, syarikat itu mengatakan bahawa pihaknya komited untuk menyelesaikan masalah dalaman yang mempengaruhi pekerjanya secara damai.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS