Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Kuang sokong tindakan disiplin dikenakan pada Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 3, 2020 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Seorang Adun Bersatu Selangor hari ini menyatakan sokongannya agar lembaga disiplin parti itu mengambil tindakan ke atas Muhyddin Yassin kerana mengumumkan langkah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Sallehudin Amiruddin yang memenangi kerudi Dewan Undangan Negeri Kuang sebagai calon PH pada 2018 berkata enam lagi ahli parlimen yang dikaitkan dengan keputusan Muhyiddin itu juga wajar dikenakan tindakan.

Hal itu kerana, kata Sallehuddin, langkah itu merupakan suatu penderhakaan kepada mandat yang diberi rakyat kepada mereka semasa pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya penubuhan Perikatan Nasional (PN) juga merupakan penghinaan terhadap sistem demokrasi di Malaysia, kerana majoriti rakyat memilih PH dan Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi kerajaan.

"Merujuk kepada kenyataan bersama Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu yang lain, saya dengan ini menyokong penuh agar Muhyiddin dan enam lagi ahli parlimen Bersatu yang melanggar etika parti dikenakan tindakan disiplin.

"Malah semua ahli Bersatu yang menyokong penyingkiran Dr Mahathir juga perlu dikenakan tindakan tatatertib, termasuklah dihukum disingkir dari parti.

"Mereka adalah parasit yang akan merosakkan parti," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Singkir 'parasit' dari Bersatu

Terdahulu, krisis dalaman Bersatu menyaksikan parti itu menganggap keanggotaan Mahathir dan empat ahli parlimen lain tergugur secara automatik kerana berada bersama pembangkang dalam sidang singkat parlimen 18 Mei lalu.

Tindakan Mahathir bersama Mukhriz Mahathir (Jerlun); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) itu dianggap sebagai menyertai pembangkang.

Bagaimanapun pengkritik mempertikaikan tindakan tersebut malah meragui keabsahannya berdasarkan peruntukan fasal Perlembagaan Bersatu yang digunakan bagi menggugurkan keanggotaan mereka.

Untuk rekod, Mukhriz ialah timbalan presiden Bersatu yang sepatutnya bertanding mencabar Muhyiddin sebagai presiden dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Syed Saddiq pula merupakan ketua Pemuda Bersatu, manakala Maszlee Malik dan Amiruddin adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Kesemua mereka menolak pemecatan itu malah Mahathir membuat kejutan apabila berkunjung ke Ibu Pejabat Bersatu dan menunggu pegawai parti menyerahkan surat mengenai pemecatannya.

Sallehuddin menegaskan, "parasit-parasit" dalam Bersatu wajar disingkirkan dan parti itu tidak boleh obses membawa masuk 'orang luar' yang belum ditentukan kesetiaan masing-masing.

"Lebih penting lagi mereka yang hendak dilantik sebagai pegawai kementerian juga haruslah daripada bukan calon yang menyokong parti atau pakatan lawan.

"Fasal 6 perlembagaan parti yang merujuk kepada tujuan matlamat parti yakni memperkasakan agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa, serta mewujudkan amalan tadbir urus yang baik perlulah dipertahankan dan ahli yang ingkar tidak harus berada dalam parti," katanya yang juga ahli seumur hidup Bersatu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS