Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DPP: Dakwaan tandatangan Najib dipalsukan tak terpakai lagi

KES SRC NAJIB | Pihak pendakwaan menyifatkan hujah pembelaan bahawa tandatangan Najib Razak mungkin dipalsukan dalam satu bukti utama kes perbicaraan rasuah RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak terpakai lagi, setelah mereka membatalkan rancangan untuk membawa saksi pakar bagi membuktikannya.

Pihak pembelaan bertegas Najib tidak tahu bahawa RM42 juta yang masuk ke akaunnya adalah daripada SRC International, sebaliknya merasakan ia adalah "derma".

Bukti utama itu dilabel P277, sepucuk surat yang dikatakan ditandatangani Najib yang mengarahkan Ambank memindahkan RM27 juta kepada Permai Binaraya Sdn Bhd dan RM5 juta kepada Putra Perdana Construction Sdn Bhd pada 29 Disember 2014.

Beberapa bulan sebelumnya, dua syarikat itu memindahkan wang dengan jumlah sama ke akaun Najib. Sumber wang tersebut daripada SRC International.

Pihak pendakwaan menggunakan surat itu untuk mencadangkan yang Najib tahu berkenaan wang yang masuk ke akaunya, atau beliau tidak akan tahu untuk memindahkan jumlah yang sama beberapa bulan kemudian.

Bagaimanapun ketika pemeriksaan balas sebelum ini, Najib membangkitkan keraguan sama ada tandatangannya di surat itu tulen atau palsu.

"Beliau (Najib) berkata tahu akan kandungan (P277), maka boleh dikatakan tertuduh menandatangani P277 tanpa mengetahui kandungannya.

"Beliau tidak kata ia dipalsukan, beliau perlukan pakar. Beliau kata ia mungkin benar atau mungkin bukan tandatangannya.

"Tetapi pakar tidak datang. Keraguannya tidak terpakai lagi," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram.

Sithambaram mencadangkan bahawa keraguan berkenaan dokumen itu hanya dibangkitkan pembelaan secara "melihat ke belakang" (hindsight) ketika perbicaraan.

"Kami kata ia (wang) adalah pendahuluan. Jika anda kembalikannya, macam mana anda boleh kata tak tahu RM27 juta dan RM5 juta masuk (ke akaun)?

"Wang itu digunakan untuk manfaat tertuduh. Dia gunakannya sebab tiada wang (ketika itu). Ia digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk membayar perbelanjaan di Itali.

"Jika Datu Seri (Najib) kembalikan wang itu dengan jumlah yang sama, kami katakan 100 peratus dia tahu tentangnya (wang masuk ke akaun).

"Kami tegaskan isu pemalsuan (tandatangan) hanya dibangkitkan pendakwaan sebagai pendedahan yang terlewat (belated disclosure)," katanya menjawab penghujahan pembelaan.

Terdahulu, pihak pembelaan berkata mereka berhasrat untuk menyerahkan laporan pakar tulisan tangan Australia, Steven Starch berkenaan tandatangan dalam P277 dan beberapa dokumen lain.

Bagaimanapun, pada 24 Februari, pihaknya berkata mereka memutuskan untuk tidak berbuat demikian susulan kebuntuan dalam terma pelantikan Starch.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS