Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau PH ada angka, tentunya sudah mengadap Agong'

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah menyatakan keyakinannya bahawa PH tidak mempunyai sokongan yang cukup jika mahu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Usaha itu memang kita ada dengar untuk mendapatkan sokongan yang tertentu supaya mereka boleh tukar kerajaan.

"Tetapi angka itu tidak ada, sebab kalau dah ada (cukup) angka, tentu mereka sudah mengadap tuanku (Yang di-Pertuan Agong).

"Kalau mereka tak mengadap maksudnya tiada angkalah. Secara mudahnya begitulah dari segi politik," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar Kelantan, JKR 10, Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini tersebar spekulasi mendakwa PH akan kembali menjadi kerajaan bersama kumpulan Mahathir dan disokong Warisan dari Sabah.

Kumpulan itu didakwa sudah mendapat sokongan daripada 129 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Berdasarkan kedudukan ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, jumlah anggota Parlimen yang menyokong kerajaan adalah 113 orang, bermakna Muhyiddin hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Ditanya sama ada PAS bersedia untuk menghadapi PRU, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata ia bergantung kepada keadaan dan keputusan perdana menteri.

Namun katanya, perkara itu perlu dielakkan seboleh mungkin memandangkan keadaan negara yang sedang berdepan Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

"Orang tengah kelam-kabut dengan ekonomi, orang hilang kerja tiba-tiba kita nak buat pilihan raya.

"Sebab itu saya nasihatkan pembangkang tunggulah, sabar dulu. Kalau nak juga tunggu tahun depan biar ekonomi agak stabil bolehlah," katanya lagi.

"Kita ikut perdana menteri, sebab orang lain tak boleh isytihar pilihan raya. Beliau yang boleh mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk cadangkan pilihan raya. Tetapi dalam keadaan sekatang tidak sesuai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS