Bekas perdana menteri Najib Razak berkata BN sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika parlimen dibubarkan bagi mengembalikan kestabilan politik.
Menurut beliau yang juga pengerusi lembaga penasihat BN, gabungan parti itu konsisten menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga PRU-15 akan datang.
Menjawab tulisan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin, Najib berkata Pakatan Harapan (PH) masih mahu menjatuhkan kerajaan PN walaupun Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya tidak lagi menimbulkan kembali kemelut politik.
"Agong boleh gunakan kebijaksanaan dan kuasa baginda untuk bubarkan parlimen bagi menyelesaian masalah ketidakstabilan politik negara. Dan pada masa itu, BN sedia turun ke padang untuk lawan PH dalam PRU.
"Itulah maksud kita. Kita sokong kerajaan PN hingga PRU-15.
"Tapi jika PH buat hal lagi, BN sedia menghadapi PRU supaya kestabilan politik dapat dipulihkan," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, petang ini.
Jelas Najib, kerajaan yang stabil amat penting bagi menghadapi dan melawan krisis melanda negara ketika ini akibat pandemik Covid-19.
"Supaya kerajaan cukup stabil menghadapi dan melawan krisis. Ada faham, Pak Kadir? Apa yang Pak Kadir takut dengan PRU," tulis Najib lagi.
Sebelum itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-15 di tengah-tengah keadaan politik negara yang tidak stabil.
Kesediaan itu dinyatakannya selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri Najib Razak di kediamannya malam tadi.
"Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami," soalnya di Facebook hari ini.
Kenyataan itu di tengah-tengah kemelut politik nasional yang masih berterusan, dengan PH, Dr Mahathir Mohamad dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa dari Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Najib secara menyindir meminta tokoh wartawan veteran itu supaya memahami pendirian BN dan tidak membuat tuduhan jahat.
Apatah lagi katanya, ketika negara dan dunia ketika ini sibuk mendepani wabak Covid-19.
Katanya, jika PH berjaya merampas kembali Putrajaya dengan membeli wakil rakyat PN ia masih belum dapat menstabilkan politik negara.
"Tapi PH masih mahu jatuhkan kerajaan dengan membeli ahli parlimen PN.
"Dan jika pun PH cukup nombor, nombor itu adalah tipis dan kerajaan PH 2.0 adalah kurang stabil. Lompat seorang-dua je, kerajaan akan tukar tangan lagi," katanya.