Pakatan Harapan (PH) Johor mengambil maklum dan menjunjung yang memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.
Ini susulan spekulasi yang mengatakan bahawa PH kini bersiap sedia mengambil-alih kuasa kerajaan negeri dengan beberapa pemimpin yang dihubungi Malaysiakini memberitahu bahawa rundingan kini di tahap yang lebih maju.
Dalam kenyataan bersama mereka hari ini, kepemimpinan PH Johor berkata mereka berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam menghadapi situasi politik semasa.
"PH Johor juga menyatakan komitmen terhadap amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri serta negara kita.
"PH Johor akan sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip tersebut dalam mendepani apa jua isu serta situasi politik semasa," kata mereka dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan (Amanah), Syed Ibrahim Syed Noh (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP).
Sultan Ibrahim, hari ini memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.
Perikatan Nasional (PN) mula berkuasa di Johor pada awal Februari ini setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya meninggalkan PH.
Walau bagaimanapun, PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.
Difahamkan, pemimpin Bersatu yang tidak senang dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Umno sedang berunding untuk kembali bergabung semula dengan PH.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah berkata, usaha merampas semula Johor kini sudah di tahap lebih maju.
"Kami menjangkakan sesuatu akan berlaku bulan ini, tetapi sekarang kami perlu membincangkan sesama sendiri bagaimana untuk meneruskannya.
"Persepsi umum adalah adalah bahawa kita sudah mempunyai sesuatu, maka mungkin mengapa titah itu dibuat," kata Puah kepada Malaysiakini.
Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin, pula berkata, kestabilan politik adalah penting, kerana rakyat memerlukan arahan dan kepemimpinan dalam menghadapi wabak dan krisis ekonomi sekarang.
Ini katanya, kurang ditunjukkan oleh pemipin PN yang juga bergelut untuk mempertahankan kuasa mereka tidak dapat fokus terhadap dasar negeri.
Oleh itu katanya, pembubaran DUN mampu mengembalikan kestabilan politik kepada Johor, cuma waktu sekarang adalah tidak tepat.
"(Jika pilihan raya negeri mengejut) kita dapat membuktikan kesahihan kerajaan dan membina kembali keyakinan rakyat.
"Namun, masih ada persoalan besar, apakah kita mampu mencapai tujuan itu (membentuk kerajaan negeri), juga sekarang bukan waktu yang tepat untuk mengadakan pilihan raya mengejut kerana kita harus fokus kepada membendung pandemik Covid-19," katanya.
Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat.
Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).
Perkara 7 (2) (b) pula menyebut bahawa sultan boleh bertindak atas budi bicaranya untuk tidak memberi perkenan baginda dalam membubarakan DUN.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dijangka akan menasihati sultan untuk membubarkan DUN sekiranya dia kehilangan sokongan majoriti.