Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas koma 42 hari, MP Sarikei sembuh dari Covid-19
Diterbitkan:  Jun 3, 2020 1:27 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu telah dibenarkan keluar dari hospital Sibu di Sarawak setelah dijangkiti virus Covid-19 pada bulan Mac lalu.

Ahli parlimen DAP berusia 61 tahun itu berada dalam keadaan koma selama 42 hari.

Dia pertama kali dimasukkan ke hospital pada 7 Mac sebagai orang yang disiasat (PUI) untuk koronavirus dan diuji positif pada 15 Mac.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong menyifatkan perkembangan ahli politik veteran itu sebagai "berita baik untuk kami".

"Dia dalam keadaan koma selama 42 hari di hospital.

"Kami ingin ucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat dan semua kakitangan kesihatan di hospital yang telah membantu Wong dan semua pesakit Covid-19 yang lain," katanya, yang dipetik akhbar The Star.

David berkata, Wong sekarang sedang berehat di rumah dan tidak pasti bila dia akan kembali bekerja.

"Bila dia akan kembali bekerja, kita tidak memikirkannya saat ini.

"Bahkan doktor tidak memberitahunya bila dia harus kembali bekerja. Buat masa ini, kita berdoa agar dia pulih sepenuhnya," katanya.

Anggota Parlimen itu dijangkiti virus berkenaan daripada ayahnya sementara anaknya yang berusia 27 tahun, pelempar cakera kebangsaan Jackie Wong, juga positif dan dimasukkan ke hospital Sibu.

Jackie keluar dari hospital pada 27 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS