Polis mendapati tiada unsur jenayah atau salah laku berhubung kematian seorang tahanan berusia 37 tahun di lokap Jinjang di Kuala Lumpur pada Ahad lalu, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim.
Mazlan berkata, ia selepas siasatan polis serta soal siasat terhadap tahanan lain yang berada di lokap tersebut.
"Si mati telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat telah dijalankan oleh pakar forensik serta masih menunggu keputusan analisis dari makmal.
"Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu hari ini, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) dalam satu kenyataan mendakwa seorang warga Nepal berusia 26 tahun, Dhan Bahdur yang dikenakan reman di lokap Jinjang pada 27 Mei hingga 10 Jun, telah meninggal dunia pada 31 Mei lalu.
EDICT mendakwa beberapa pelanggaran peraturan berkenaan mengendalikan kes kematian dalam tahanan polis.
Bagaimanapun Mazlan dalam kenyataannya mengenal pasti si mati sebagai seorang yang berusia 37 tahun tetapi memberi tempoh reman dan tarikh kematian yang sama.
Beliau tidak menamakan si mati.
Mengulas lanjut, beliau berkata si mati ditangkap pada 27 Mei lalu kerana didakwa gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat mengikut Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Agensi Persendirian 1971.
Akta Agensi Persendirian 1971 berkenaan industri keselamatan swasta di Malaysia.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Mohaneswaran a/l Thiagarajah (pegawai penyiasat kes) di talian 016-4461605 , Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya lagi.