Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasar raya besar di Shah Alam antara premis diarah ditutup
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 3:49 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Sebuah pasar raya besar di Seksyen 13 di Shah Alam menjadi premis perniagaan pertama di Selangor diarah tutup selama lapan hari apabila dikesan beroperasi dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan penutupan yang berkuat kuasa semalam sehingga 8 Jun, dikeluarkan pihaknya hasil pemantauan dilakukan unit penguat kuasa jabatan berkenaan.

Beliau berkata tempoh lapan hari yang diberikan kepada pengusaha premis perniagaan itu dilihat memadai bagi mereka memastikan pengoperasian pasar raya besar terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dalam situasi penularan wabak Covid-19 ketika ini, mereka seharusnya lebih peka untuk menjaga kebajikan pelanggan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya penutupan operasi pasar raya besar itu juga diharap menjadi pengajaran kepada pengusaha premis perniagaan lain supaya lebih prihatin dengan perkembangan semasa wabak demi memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negeri ini.

Dr Sha’ari berkata unit penguat kuasa JKNS sentiasa menjalankan pemantauan di seluruh negeri ini bagi memastikan semua pihak khususnya premis perniagaan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain itu beliau turut menyarankan pengusaha premis perniagaan mengguna pakai aplikasi SELangkah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai usaha pengesanan kontak sekiranya wujud penularan wabak berkenaan di premis masing-masing.

Ditanya sama ada kegagalan pematuhan SOP oleh pengusaha pasar raya besar itu boleh menyebabkan pengusahanya dikenakan kompaun, Dr Sha’ari berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Antara SOP dikeluarkan kerajaan yang harus dipatuhi pengusaha perniagaan untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB adalah jarakan sosial, mengehadkan jumlah pelanggan di dalam premis, dan mengambil suhu badan pengunjung.

Terdahulu, satu foto yang tular di media sosial mengenai notis penutupan pasar raya besar berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan warga maya yang tinggal di sekitar premis perniagaan itu.

Notis itu memaparkan arahan penutupan premis mengikut subseksyen 18(1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS