Sejak 30 tahun lalu kerajaan negeri Kelantan didapati begitu ketat mengawal penjualan arak di negeri itu.
Justeru ketika masyarakat banyak memperkatakan tentang masalah pemandu mabuk yang agak ketara berlaku mutakhir ini, wujud cadangan supaya kerajaan persekutuan mencontohi Kelantan dalam menangani permasalahan tersebut.
Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua berpendapat, Kelantan adalah model yang sepatutnya dicontohi dalam menangani masalah pemandu mabuk khususnya dalam mengawal penjualan minuman keras.
Katanya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan Kelantan mendatangkan impak positif di mana jarang kedengaran kes-kes melibatkan kemalangan maut berpunca daripada pemandu mabuk di negeri itu.
"Bagi saya walaupun saya beragama Buddha, dalam agama saya juga melarang minum arak dan makan perkara yang memabukkan, bukan agam Islam saja.
"Jadi kita ambillah kelantan sebagai model dan contoh sebab Kelantan sejak 30 tahun sudah mula membuat peraturan yang sungguh ketat berkaitan dengan arak.
"Kerajaan mengawal penjualan arak dengan mengeluarkan lesen-lesen dengan had tertentu, premis yang ada lesen sahaja boleh jual arak, tidak dibenar secara bebas. Hanya premis atau restoran tertentu sahaja dibenarkan dan diluluskan penjualan arak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu isu pemandu mabuk yang menyebabkan berlaku kemalangan maut hangat diperkatakan susulan kejadian demi kejadian dilihat berleluasa.
Sebelum ini, PAS turut menggesa agar kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat diselesaikan.
Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, dalam tempoh penggantungan itu, kerajaan juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani masalah tersebut.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan semua permohonan baru untuk lesen minuman keras berkuatkuasa serta merta.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula bersedia menimbang cadangan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membekukan lesen baru penjualan arak berikutan sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata keputusan untuk membekukan lesen perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.
Sementara itu, Lau berkata, di Kelantan penjualan arak secara bebas tidak berlaku seperti mana di negeri-negeri lain.
"Kita dapat lihat minuman keras tidak dijual di kedai-kedai serbaneka 24 jam seperti di negeri lain. Hanya kedai-kedai yang dikhaskan dibenarkan, mengikut keperluan setempat.
"Justeru langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang yang berkait dengan arak ini perlu disokong oleh seluruh masyarakat di Malaysia.
"Satu jalan penyelesaian perlu kita lakukan dalam kadar segera sebab semakin lama semakin parah, tindakan kerajaan untuk menggubal undang-undang berkaitan sepatutnya disokong oleh semua supaya keadilan kita tegakkan," jelasnya.
Tambah beliau, perkara sama juga perlu diambil tindakan serius dalam menangani masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan air ketum yang semakin menular dalam masyarakat.