Pakatan Harapan (PH) dianggap membuang masa saja jika membentuk kerajaan semula di negara ini dengan memiliki sokongan majoriti yang tipis, kata penganalisis politik.
Tanpa mendapat sekurang-kurangnya 130 kerusi, kata Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM), kerajaan yang dibentuk itu tidak akan benar-benar stabil.
“Peralihan kerajaan dapat dilakukan sebelum sidang parlimen pada Julai hanya dapat disahkan kebenarannya jika sudah ada bukti sekurang-kurangnya dengan sokongan 130 ahli parlimen ke atas.
“Jika kurang daripada itu, ia hanya membazir masa kerana selagi hanya minoriti terlalu tipis kerajaan tetap tidak stabil," katanya.
Justeru kata Awang Azman jika benar-benar mahu menguasai kerajaan semula PH mesti mengumpul sebanyak mungking sokongan daripada ahli parlimen yang ada.
Pun begitu, beliau berkata, usaha tersebut tidaklah mudah, terutama dalam keadaan PH kini sudah kehilangan kuasa.
"Apatah lagi jika dilihat di atas kertas Dr Mahathir Mohamad sudah tidak berparti.
"Belum ada dalam sejarah Malaysia ahli parlimen tidak berparti menjadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.
Perlukan karisma, aura
Dua hari lalu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memberi gambaran bahawa PH mungkin kembali semula ke Putrajaya sebelum persidangan parlimen akan datang.
Selepas bersidang selama kira-kira sejam pada 18 Mei lalu, parlimen dijadual bertemu sekali pada pada Julai ini.
Untuk rekod, sebelum ini tersebar spekulasi mendakwa PH akan kembali menjadi kerajaan bersama kumpulan Mahathir dan disokong Warisan dari Sabah.
Kumpulan itu didakwa sudah mendapat sokongan daripada 129 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu bahawa sama ada PH benar-benar memperolehi jumlah tersebut atau pun tidak, ia masih dalam proses dan belum dimuktamadkan.
Awang Azman berkata, untuk menarik lebih ramai anggota parlimen dari blok Perikatan Nasional (PN), setiap pemimpin utama PH perlu menggunakan aura dan karismatik politik masing-masing.
“Ini kerana dalam krisis besar, hanya pemimpin karismatik akan berjaya menonjol dan menjadi penyelesai," katanya.
Tambah Awang Azman, jika PH memperolehi sokongan minimum 130 orang gabungan itu boleh mentadbir dengan selesa dan tidak perlu berdepan dengan kemungkinan diadakan pilihan raya umum mengejut.
Sementara itu bekas pensyarah pusat pengajian sains dan kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Ahmad Atory Hussain, pula berpendapat mustahil bagi PH merampas semula kerajaan dari PN sebelum sidang parlimen akan datang.
Bergantung usul di parlimen
Beliau berkata, kenyataan mengenai peralihan kuasa tersebut perlu disokong dengan bukti yang kukuh, bukannya dengan cakap kosong seorang ahli politik.
“Kenapa pula nak tunggu sampai Julai? Pergi sajalah jumpa mengadap Agong.
“Saya fikir kalau benar mereka mempunyai 129 orang ahli parlimen, mereka dah mengadap Agong untuk menyatakan memiliki majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tapi tak ada pun.
“Jadi kita cabar (PH) tunjukkan tindakan mereka. Jangan sebut dan cakap saja.. kalau sebut saja, ia menunjukkan kenyataan yang bersikap provokatif atau pun kita panggil propaganda politik,” katanya.
Senada dengan Atory ialah pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah Prof Zaini Othman yag berkata peralihan kerajaan mustahil dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, jumlah spekulasi daripada sokongan 129 kerusi itu juga bergantung kepada beberapa perkara tertentu seperti sama ada ia dapat dibuktikan di parlimen melalui usul tidak percaya atau sebaliknya.
“Jadi, kalau nak berlaku pun, itu sangat bergantung kepada usul tak percaya di parlimen, iaitu sejauh mana keutamaan itu akan diambil oleh speaker Dewan Rakyat.
“Untuk berlaku sebelum Julai ni sangat mustahil sebab saya tak rasa Yang di-Pertuan Agong akan menerima mengadap mana-mana pihak yang mendakwa sedemikian. Ini dakwaan yang tidak jelas,” katanya.
Tambahnya, mana-mana parti politik akan menunjukkan keyakinan mereka yang tinggi terhadap rakyat, bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti.
“Parti politik perlu tunjukkan keyakinan yang tinggi. Kalau mana-mana parti politik katakan tiada peluang, tak ada sokongan, maka, itu bukanlah karakter sesebuah parti politik.
“Bagi saya, ia merupakan permainan atau sikap dari mana-mana parti politik tanpa mengira sama ada Umno, PAS atau mana-mana parti politik,” katanya.