Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SOP kedai gunting rambut masih dibincangkan - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk tukang gunting rambut masih dalam perbincangan.

Ismail hari ini berkata kedai gunting rambut buat masa ini masih berada dalam senarai premis yang tidak dibenarkan untuk dibuka semula dan sekatan serupa dikenakan pada perkhidmatan potong rambut di rumah.

"Kita sedang menunggu dari MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membentangkan SOP jika dah siap. Setakat ini belum lagi.

"Selepas itu baru kita putuskan sama ada nak benarkan kedai-kedai gunting rambut dibuka atau tidak," kata Ismail pada sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

"Bila tarikh pun akan bergantung pada SOP yang dibentangkan.

"Setakat ini gunting rambut adalah masih dalam senarai terlarang di mana sahaja, termasuk di rumah," katanya, sambil menambah bahawa SOP baru sedang disiapkan bersama antara MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada 10 April, kerajaan mengumumkan kebenaran kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, kerajaan membatalkan keputusan itu pada hari berikutnya susulan kritikan ramai pihak, termasuk dari para pemain industri yang memetik kebimbangan kesihatan kerana kontak rapat dengan pelanggan yang tidak dapat dihindari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS