Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan orang awam solat di masjid, surau S'gor dilanjut hingga 30 Jun

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tempoh penangguhan sembahyang Jumaat dan sembahyang lima waktu untuk orang awam di masjid serta surau di Selangor dilanjutkan sehingga 30 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani berkata baginda bertitah bahawa dalam tempoh itu, pelaksanaan sembahyang Jumaat masih hanya dibenarkan dilakukan di 39 masjid terpilih dengan jumlah jemaah yang ditetapkan seperti diumum sebelum ini.

“Semakan semula penangguhan solat itu untuk orang awam akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini sekiranya jangkitan wabak Covid-19 menurun dengan konsisten agar jumlah jemaah solat Jumaat dapat ditambah dan masjid dapat dibuka secara berperingkat lebih awal khususnya di kawasan zon hijau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Munir berkata laungan azan sembahyang lima waktu tetap akan berkumandang seperti biasa dan hanya imam, bilal serta siak sahaja dibenarkan menunaikan sembahyang berkenaan di masjid serta surau di negeri ini dalam tempoh tersebut, selain program ceramah melalui media sosial terus dijalankan.

Pada masa sama, katanya Sultan Sharafuddin menyeru supaya rakyat terus mengamalkan jarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut selain mematuhi arahan dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memulihkan keadaan agar umat Islam dapat kembali mengimarahkan masjid.

Pada 13 April lepas, Sultan Sharafuddin menitahkan agar sembahyang Jumaat, sembahyang berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid, surau dan musollah, di negeri ini ditangguhkan sehingga 31 Mei (semalam) bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun pada 14 Mei, Sultan Selangor berkenan supaya sembahyang Jumaat dilakukan di 39 masjid terpilih di negeri ini dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja susulan penurunan kadar jangkitan wabak Covid-19.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS