Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perjumpaan 23 Feb untuk cadang Dr M tubuh k'jaan tanpa DAP, Anwar dan Amanah'
Diterbitkan:  May 31, 2020 9:19 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata perjumpaan pada petang 23 Februari bersama Dr Mahathir Mohamad adalah untuk mengajak bekas perdana menteri itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi mewujudkan "kerajaan perpaduan" tanpa DAP, PKR dan Amanah.

Katanya, pada petang sebelum terjadinya Langkah Sheraton itu, telah ada “titik persamaan persetujuan” bagi memulakan perbicangan, namun Dr Mahathir kemudiannya telah melanggar persetujuan awal berkenaan.

“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan oleh presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Tun M (Mahathir) mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar Ibrahim) dan Amanah.

“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan.

“Namun sokongan ditarik balik apabila Tun M pada Selasa mencadangkan kerajaan perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

 

Ahmad Zahid mengulas mengenai tangkap layar hantaran Facebook pegawai Mahathir semalam, yang mendakwa beliau membawa “dokumen” bersamanya, namun dibalas Mahathir agar membawa dokumen berkenaan ke mahkamah.

Ulas Ahmad Zahid, dokumen yang dibawa oleh presiden-presiden parti adalah akuan bersumpah (SD) dan bukannya dokumen mahkamah seperti yang didakwa, dan beliau hadir membawa mandat ahli dan pimpinan Umno.

“Hanya mereka yg tidak mahu berfikir akan percaya fitnah-fitnah itu. Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?

“Baru sahaja kita berpuasa sebulan tapi fitnah sudah menguasai kembali,” katanya lagi.

Semalam, tular gambar yang memaparkan perjumpaan Mahathir bersama beberapa pemimpin parti politik, pada petang 23 Februari lalu- hari sama Langkah Sheraton terjadi.

Gambar itu menunjukkan Mahathir duduk bersama Ahmad Zahid; Pengerusi GPS, Abang Johari Openg; Ketua whip GPS, Fadillah Yusof; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan, Shafie Apdal; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (kini bekas timbalan) dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Penyokong Perikatan Nasional (PN) mendakwa gambar itu adalah bukti bekas perdana menteri itu menyokong usaha membawa keluar Bersatu dari PH untuk membentuk gabungan kerajaan baru.

Bagaimanapun, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Akhramsyah Sanusi berkata pertemuan itu diatur oleh Muhyiddin setelah gagal meyakinkan Mahathir untuk keluar daripada PH pada mesyuarat parti sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS