Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki disyaki bakar Myvi bapa mentua direman

Seorang lelaki yang dipercayai membakar kereta Perodua Myvi milik bapa mentuanya di tepi Jalan Senggang, di Perak, Rabu lepas, direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata perintah reman terhadap suspek berumur 41 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah pagi tadi.

“Setakat ini, lelaki terbabit tidak mengaku melakukan perbuatan tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut seksyen 435 kanun keseksaan," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Dalam kejadian malam Rabu lepas, suspek telah bertengkar dengan isterinya yang berusia 34 tahun di rumah bapa mentuanya di Tanjung Belanja, Parit dan bapa mentuanya cuba meleraikan pergaduhan itu sebelum suspek keluar dan tidak pulang.

Keesokan paginya, mangsa menyedari Perodua Myvi miliknya yang diletak di halaman rumah sudah tiada sebelum kereta itu ditemui hangus terbakar di tepi Jalan Senggang Parit, pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan selepas melarikan diri ke Kuantan, Pahang, pukul 8.15 malam, pada Khamis lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS