Kenyataan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin semalam telah mengundang maklum balas bekas rakannya di dalam PKR, yang memintanya untuk 'menghentikan helah sandiwara politik'.
Ketua Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata Afif telah memanipulasi kenyataan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga pengerusi majlis PH negeri mengenai keputusan yang terakhir untuk menggugurkan bekas timbalan ketua AMK itu dari blok kerajaan negeri.
"Wahai Afif Bahardin, berhentilah dengan sandiwara politik murahan anda. Rakyat melihat sendiri gelagat politik yang anda bawa.
"Maklumat berkaitan sandiwara politik anda semua di hujung jari, akses kepada kronologi dan siri-siri politik khianat, putar belit, dan gerakan sabotaj parti terang - terangan menggambarkan keperibadian anda.
"Semakin hari semakin jelek pada pandangan rakyat. Rakyat akan menghukum anda tidak lama lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
BACA BERKAITAN: Keputusan PH singkir saya berat sebelah - Afif
Fahmi (gambar, bawah) berkata Afif memenangi kerusinya dengan bertanding di bawah tiket PKR dan Pakatan Harapan jadi beliau tidak seharusnya berpihak kepada Perikatan Nasional.
"Afif Bahardin seharusnya tidak menyebelahi dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan ini bukan sahaja tidak demokratik malah mengkhianati amanat parti.
"Namun pengkhianatan bagi Afif Bahardin hanya rutin sandiwara politik beliau.
"Kenyataan medianya merupakan helah kesekian kali beliau untuk mengalih perhatian para penyokong dan simpatisannya dengan mengelirukan mereka," kata Fahmi.
Semalam, Afif berkata keputusan untuk menggugurannya dari bangku kerajaan Pulau Pinang adalah "berat sebelah dan tidak demokratik."
Afif telah digantung dari PKR sementara menunggu keputusan lembaga disiplin berkaitan dengan insiden "rusuhan" semasa kongres parti itu pada tahun lalu.
DUN Seberang Jaya berada di bawah parlimen Permatang Pauh, kubu kuat PKR, dan setelah pemecatan Afif, Ahli Parlimennya Nurul Izzah Anwar akan mengawasi DUN itu.
Fahmi memberikan beberapa alasan mengapa keanggotaan Afif dalam PKR digantung termasuk tuduhan melakukan sabotaj dan aktiviti rusuhan ketika kongres AMK tahun lalu, selain didakwa terlibat dalam "Langkah Sheraton."
Afif dituduh bersekongkol dengan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dan setiausaha politiknya Hilman Idham dalam tindakan yang menyebabkan keruntuhan kerajaan persekutuan PH.
Fahmi juga mendakwa Afif dan penyokongnya dalam AMK menunjukkan sokongan terhadap PN.
Afif telah menafikan dakwaan itu, berkata beliau tidak melompat parti atau keluar dari PKR untuk layak digugurkan ke bangku pembangkang DUN.
Bagaimanapun, Fahmi hari ini mengingatkan Afif bahawa rakyat mengutuk rasuah, politik wang dan golongan "gunting dalam lipatan" yang 'tikam belakang' ketika mengalahkan BN pada pilihan raya umum lalu.
"Jika beliau "istiqamah" dalam berkhidmat, beliau sepatutnya bersama-sama menjunjung Keadilan sebagai institusi kepartian yang beliau sertai walaupun dalam keadaan yang sukar.
"Namun beliau lebih suka untuk berada dalam 'kluster kayangan' yang merosakkan parti dan membelakangkan dasar kerajaan negeri," kata Fahmi.
Selain Afif, dua Adun Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) - juga telah dikeluarkan dari blok kerajaan negeri kerana menyokong PN.
Chow berkata usul akan dibawa di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada sidang berikutnya untuk supaya ketiga-tiga Adun terbabit mengosongkan kerusi mereka.
Menurut ketua menteri lagi, tindakan ini selaras dengan undang-undang anti-lompat parti negeri, yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Khaliq dan Zolkifly berkata akan mencabar negeri sekiranya mereka terpaksa mengosongkan kerusi mereka, berkata undang-undang anti-lompat tidak boleh dikenakan terhadap mereka kerana ketiga-tiga Adun berkenaan tidak melompat paryi tetapi hanya mengalihkan kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Fahmi mengingatkan dua Adun Bersatu itu bahawa kemenangan mereka pada PRU14 adalah kerana kerjasama antara parti komponen PH, bersama DAP, PKR dan Amanah.
"Rakyat mengundi mereka atas tiket Pakatan Harapan yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKT).
"Keangkuhan kedua-dua Adun ini didorong oleh faktor jawatan dan harta," kata Fahmi lagi.