Pelakon drama Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas dakwaan memikat serta melarikan isteri orang dengan tujuan mengajak melakukan persetubuhan.
Dia yang lebih dikenali sebagai Shah Hazvee, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.
Pelakon drama 'Monalisa' dan 'Hero' itu didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang perempuan yang bersuami dengan niat untuk melakukan persetubuhan dengannya.
Dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Shah Hazvee didakwa memikat wanita berusia 36 tahun itu yang mana diketahuinya, dia adalah isteri yang sah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Sering, Ukay Perdana, di Kuala Lumpur, pada jam 8 malam, 25 Mei lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Harcharanjit Singh, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
"Jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Anak guam saya seorang artis dan ramai media di luar membuat liputan kes ini, jadi tiada sebab dia mahu melarikan diri," kata Harcharanjit.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan kes.