Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa perlu dilakukan seperti dijanji, kata 39 MP PKR
Diterbitkan:  May 28, 2020 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Di tengah-tengah spekulasi bahawa Pakatan Harapan (PH) mempunyai sokongan yang cukup daripada anggota parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), anggota parlimen PKR menegaskan peralihan kuasa harus dilakukan "seperti yang dijanjikan".

Perkara itu ditegaskan oleh 39 anggota parlimen PKR dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh ketua whip parti itu, Johari Abdul.

Walaupun tidak mengulas lanjut, mereka dipercayai menyentuh janji bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan kuasa kepada presiden PKR Anwar Ibrahim tahun ini.

"Kami mengambil maklum bahawa proses rundingan dan perbincangan dengan semua pihak masih berterusan, demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.

"Ini bukan pertarungan di kalangan elit politik untuk merebut kuasa, tetapi sebaliknya adalah usaha membawa agenda Reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat.

"Sebarang peralihan kuasa perlu berlaku sepertimana yang dijanjikan, berjalan dengan tertib dan aman, serta mengikut lunas undang-undang," tegasnya.

Terdahulu, dikhabarkan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah telah mengumpulkan sokongan 129 anggota parlimen daripada 222 anggota di Dewan Rakyat bagi mencabar keabsahan kerajaan PN.

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Azmin Ali hari ini berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu namun memberi amaran agar pihak berkenaan tidak mengheret negara ini ke dalam krisis politik sekali lagi.

Sebagai rekod, semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, susunan tempat duduk menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti tipis dua kerusi dengan sokongan 114 anggota Parlimen.

Sementara itu, anggota parlimen PKR berkata, mereka akan melipatgandakan usaha bagi meneliti dan menggubal  dasar yang mengutamakan nasib rakyat, serta agenda reformasi di dalam dan luar parlimen.

Menurutnya, anggota parlimen PKR juga menekankan keperluan meneliti usaha selama ini untuk menepati janji-janji yang dibuat serta mengelak daripada mengulangi kesilapan lalu.

"Ahli-Ahli Parlimen Keadilan diingatkan agar menitikberatkan kebajikan warga terutama yang terkesan akibat Covid-19 termasuk yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan, di mana usaha menyeluruh diperlukan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS