Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah perparitan di Taman Wadi Iman akan diselesaikan segera- Exco

Keresahan kira-kira 100 pemilik rumah di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini yang terpaksa berdepan dengan isu banjir kilat pada setiap kali hujan bakal berakhir berikutan kerajaan Kelantan berjanji untuk mengambil tindakan segera mengatasinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata pihaknya akan membina saliran air yang baru yang mampu menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat.

“Hasil lawatan saya hari ini akan menyelesaikan segera masalah perparitan ini dengan membuka semula saluran lama (alur lama) memandangkan alur baharu yang sedia ada tidak mampu menampung limpahan air,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di taman perumahan itu hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan membina benteng parit yang tinggi bagi mengelak limpahan air ketika hujan.

“Kami juga telah meneliti semua bajet yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah perparitan ini, dan insya-Allah ia akan dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan penduduk di taman perumahan itu resah apabila sering berdepan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat dan dalam tempoh setahun lalu sudah enam kali rumah mereka digenangi air apabila berlaku hujan lebat lebih sejam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS