Sekolah dan institusi pendidikan lain di negara ini mungkin dibenarkan dibuka semula sekiranya kes baru Covid-19 kekal rendah sehingga 9 Jun, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya perlu menunggu sehingga minggu pertama Jun sebelum membuat sebarang keputusan bagi meneliti kesan akibat sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
"Dari segi kes harian, jika kita dapat (angka) dua digit yang lebih rendah, atau satu digit, dan mengekalkannya hingga 9 Jun, mungkin kita dapat membuka lebih banyak sektor sosial dan pendidikan," katanya dalam sidang media harian berkaitan wabak itu di Putrajaya petang ini.
Justeru beliau menegaskan disiplin dan kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM sangat penting untuk mencapai sasaran.
"Kita percaya jika kita dapat melakukannya, kita dapat menurunkan jumlah kes (lebih rendah).
"Mungkin pada minggu pertama bulan Jun, kita akan melihat apakah musim perayaan ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia," katanya.